- Lain-lain
Pelajar China Sedia Hidangan Nasi, Guna Resipi Purba Berusia 2,000 Tahun
Foto bertarikh 17 April 2025 ini memaparkan hidangan nasi yang dimasak mengikut resipi yang tercatat dalam manuskrip bertajuk ‘Shi Fang’, sebuah teks purba pada zaman Dinasti Han Barat (202 SM – 8 Masihi) di Changsha, Provinsi Hunan di tengah China. (Xinhua/Zhang Ge)
Sekumpulan pelajar China baru-baru ini mengemukakan cadangan untuk menyediakan hidangan nasi, sama seperti ia dihidangkan pada sekitar 2,000 tahun dahulu, iaitu mengikut resipi berdasarkan manuskrip purba. Untuk rekod, nasi merupakan makanan ruji buat 60 peratus populasi China ketika ini.
Dalam projek yang menggabungkan penyelidikan sejarah dan eksperimen kulinari tersebut, pasukan dari Akademi Yuelu Universiti Hunan telah memasak nasi berdasarkan resipi yang tercatat di dalam manuskrip buluh bertajuk ‘Shi Fang’, iaitu sebuah teks purba yang direkodkan pada zaman Dinasti Han Barat iaitu pada tahun 202 SM – 8 Masihi.
Dikeluarkan daripada kubur Wu Yang, iaitu pegawai kanan semasa zaman Han Barat yang terletak di Kaunti Yuanling di Hunan, manuskrip ‘Shi Fang’ memperincikan kaedah-kaedah menyediakan dan memasak pelbagai bahan-bahan, sekali gus memberikan perspektif tentang gastronomi China purba.
Hidangan seperti nasi kukus, sup ayam dan ikan kukus telah merungkai budaya kulinari China yang sofistikated.
Luo Jiayi, pelajar Universiti Hunan yang berkongsikan pengalamannya menyatakan dia mula menemui manuskrip ‘Shi Fang’ ketika mengikuti kursus ‘Budaya Kulinari di Hunan’.
“Melalui serpihan buluh yang terang dan menarik, makanan purba dari 2,000 tahun lalu jelas terpapar di hadapan mata saya."
“Memasak nasi dari zaman Dinasti Han Barat telah membuatkan kami lebih menghargai terhadap kekayaan dan daya tarikan budaya tradisional Cina,” tambah Luo.
Usaha ini menghimpunkan pasukan silang bidang yang terdiri daripada 10 pelajar dari Universiti Hunan dan seorang dari Universiti Pertanian China di Beijing, iaitu pakar dalam sejarah, falsafah, museologi, sains makanan dan reka bentuk.
Mereka dibahagikan kepada kumpulan penyelidikan, eksperimen, penggambaran dan reka bentuk, dengan tujuan bukan sahaja untuk mentafsir teks purba, tetapi juga untuk menghidupkan semula cita rasa purba.
Bagaimanapun, cabaran semakin besar. Menurut Xiong Yuxuan, ahli kumpulan penyelidik, banyak serpihan buluh itu berpecah-belah, dan makna beberapa karakter purba telah berevolusi dari semasa ke semasa, manakala tempoh memasak juga tidak disebut dalam manuskrip, sekali gus bermakna pasukan itu perlu berterusan menyesuaikan eksperimen mereka semasa penyelidikan mereka.
Keadaan moden juga telah menyumbang kepada kesukaran. Varieti padi hari ini, peralatan memasak dan kaedah api sangat berbeza daripada yang ada pada zaman dahulu.
"Walaupun keaslian yang lengkap adalah mustahil, menggabungkan teknik era Han dengan teknologi moden membolehkan pelajar memanfaatkan kebijaksanaan kuno," kata Shi Jing, profesor madya di Akademi Yuelu, merangkap penyelia projek.
Sebagai contoh, pasukan itu memilih zengzi luar bandar tradisional, iaitu pengukus kayu dan periuk tanah liat yang masih digunakan di beberapa perkampungan Cina, berbanding yan purba yang jarang ditemui, sebuah bekas khusus untuk mengukus, seterusnya mencapai kesan yang setanding dalam proses memasak.
Selain itu, bagi menyamai kualiti dan bentuk nasi pada 2,000 tahun dahulu, pasukan itu yang dibantu oleh He Junxian, ketua cef, telah memilih beras bukan pulut yang menyamai era Han Hunan.
Selepas beberapa eksperimen di bawah panduan cef He, para pelajar akhirnya dapat memperhalus proses, iaitu merendam beras selama setengah jam sebelum menapisnya, dan mengukusnya selama 20 minit, mengudarakannya sehingga sejuk, menambah air dan mengukusnya semula selama 15 minit lagi.
Hasilnya adalah nasi lebih ringan tetapi elastik, dengan tekstur yang lebih baik serta kandungan gula yang lebih rendah, iaitu seiring dengan trend pemakanan sihat pada hari ini.
“Nasi yang dihasilkan semula berpandukan manuskrip ‘Shi Fang’ mungkin menginspirasikan inovasi kulinari baharu dalam restoran kotemporari,” ujar He.
Sepasukan pelajar dari Akademi Yuelu Universiti Hunan sedang memasak nasi mengikut resipi yang tercatat dalam manuskrip bertajuk ‘Shi Fang’, sebuah teks purba pada zaman Dinasti Han Barat (202 SM – 8 Masihi) di Changsha, Provinsi Hunan di tengah China pada 17 April 2025. (Xinhua/Chen Zhenhai)
Selepas merasai nasi tersebut, profesor dari Amerika Syarikat di Akademi Yuelu, Peter Brian Ditmanson menyifatkan ia sebagai ‘comfort food’ atau makanan selesa. Beliau turut berbesar hati untuk mempromosi inisiatif itu di peringkat global menerusi platform seperti TikTok.
Untuk rekod, China merupakan pengeluar beras terbesar di dunia dan juga asal usul kepada budaya nasi. Beras yang dipupuk secara buatan pertama direkodkan pada 10,000 tahun dahulu, dan ditemui di Kaunti Daoxian di Hunan.
Foto tanpa tarikh ini memperlihatkan slip buluh yang merekodkan resipi bertajuk ‘Shi Fang’, sebuah teks purba pada zaman Dinasti Han Barat (202 SM – 8 Masihi) di Changsha, Provinsi Hunan di tengah China. (Oleh Muzium Jiandu Changsha kepada Xinhua)