- Lain-lain
Xi, Pemimpin EU Tukar Ucapan Tahniah Sempena Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik
Presiden China Xi Jinping bertukar ucapan tahniah dengan Presiden Majlis Eropah Antonio Costa dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Kesatuan Eropah (EU) di sini pada hari Selasa.
Xi menyatakan bahawa hubungan China-EU telah menjadi antara hubungan dua hala yang paling berpengaruh di dunia, memberikan sumbangan penting kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat China dan Eropah serta menggalakkan keamanan dan pembangunan dunia.
"Saya amat mementingkan hubungan China-EU dan bersedia bersama-sama dengan Presiden Costa dan Presiden von der Leyen dengan memanfaatkan kesempatan ini, membuat rumusan dan menimba pengalaman tentang pembangunan hubungan China-EU, menambah komunikasi dari segi strategi, meningkatkan persefahaman dan memupuk rasa saling percaya, mengukuhkan perkongsian, meningkatkan tahap keterbukaan antara kedua-dua pihak, dan berhemah menangani pergeseran dan perselisihan supaya dapat membuka lembaran baharu yang lebih cerah dalam perkembangan hubungan China-EU pada masa depan.
"China dan EU perlu berpegang teguh pada amalan multilateralisme, mempertahankan keadilan dan kesaksamaan, menentang amalan unilateralisme dan pembulian, bekerjasama menghadapi cabaran global, serta bersama-sama mendorong multipolariti yang sama rata dan teratur serta mengamalkan nilai-nilai universal dalam globalisasi ekonomi yang inklusif, demi memberi sumbangan lebih besar kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran dunia," ujar Xi.
Sementara itu, pemimpin EU menyatakan bahawa pada zaman pasca normal yang penuh dengan ketidaktentuan dan kerancuan geopolitik, EU bersedia memperkukuh perkongsian dengan China, meningkatkan interaksi dan kerjasama, memelihara prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bersama-sama menangani cabaran, dan menggalakkan keamanan, keselamatan, kemakmuran dan pembangunan mampan di peringkat dunia.
Pada hari yang sama, Perdana Menteri China Li Qiang juga bertukar ucapan tahniah dengan Costa dan von der Leyen.