Pertemuan Pemimpin China-Perancis-EU Diadakan

(CRI)Isnin 06 Mei 2024
Pertemuan Pemimpin China-Perancis-EU Diadakan

Presiden China, Xi Jinping bersama-sama dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Jawatankuasa Kesatuan Eropah (EU) Ursula von der Leyen mengadakan pertemuan tiga penjuru di Istana Elysee, Paris pada pagi tadi waktu tempatan.

“China sentiasa melihat hubungannya dengan EU dari segi strategik dan jangka masa yang panjang, menganggap EU sebagai keutamaan dalam diplomasi China dan rakan penting sepanjang proses memperjuangkan matlamat modenisasi ala China. Diharapkan bahawa hubungan China-Perancis dan China-EU dapat berkembang bersama berdasarkan sokongan antara satu sama lain,” kata Xi.

“Dunia kini telah masuk satu fasa yang baharu yang penuh dengan tranformasi dan pergolakan . Sebagai dua kuasa utama di dunia ini, China dan EU perlu mengekalkan perkongsian, meneruskan dialog dan kerjasama, mengintensifkan komunikasi strategik, memupuk rasa saling percaya dalam bidang strategi, membina konsensus yang bersifat strategik, dan mengadakan penyelarasan strategik supaya dapat mendorong hubungan China-EU berkembang dengan stabil dan sihat sehingga memberi sumbangan baharu kepada keamanan dan pembangunan dunia,” tambah Xi.

Xi menekankan bahawa hubungan China-EU yang mempunyai motivasi dalaman yang kuat dan prospek pembangunan yang luas, tidak menyasarkan mana-mana pun pihak ketiga, dan juga tidak bergantung kepadanya atau dimanipulasi olehnya. China berharap EU melaksanakan dasar yang proaktif terhadap China, menghormati kepentingan teras dan keprihatinan utama China, di samping melindungi dasar politik dalam hubungan bilateral dan tata tertib asas hubungan antarabangsa.

“Terwujudnya kehebatan China dalam landskap tenaga boleh baharu (TBB) tidak terlepas dari persaingan terbuka, dan ia juga menandakan arah perkembangan industri terbabit. Industri TBB China bukan sahaja berperanan menambah bekalan dalam senario global, malah boleh membantu meredakan tekanan inflasi global dan memberi sumbangan besar bagi dunia dalam menangani isu perubahan iklim dan mendorong transformasi hijau. Tiada apa yang disebut “kapasiti industri yang berlebihan di China,” ujar Xi.

Sementara itu, Emmanuel Macron pula berkata, tahun ini ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Perancis-China. Kedua-dua negara telah mencapai banyak hasil yang penting dalam kerjasama. Beliau berbesar hati tentang kehadiran Presiden Xi dalam pertemuan pemimpin tiga pihak China-Perancis-EU dalam tempoh lawatan rasminya yang merupakan kali ketiga di Perancis. Menurut Macron, dunia kini menghadapi cabaran besar. Perancis dan EU perlu meningkatkan kerjasama dengan China demi masa depan Eropah. Eropah tidak bersetuju dengan dakwaan “memutuskan hubungan dengan China”, sebaliknya mengalu-alukan syarikat China melakukan pelaburan di Eropah, berharap bersama dengan China melindungi keselamatan dan kestabilan rantai nilai dan pembekalan Eropah.

Ursula Von Der Leyen pula menyatakan bahawa China memainkan peranan yang penting dalam hal ehwal global. Mengekalkan hubungan yang baik dengan China dianggap penting bagi Eropah untuk menghadapi pelbagai cabaran global seperti isu perubahan iklim dan krisis Ukraine. Beliau berkata, pihaknya menyanjung tinggi terhadap usaha dan pencapaian dibuat China dalam pembangunan mesra alam serta transformasi hijau. Pihaknya berharap terus mengekalkan dialog yang ikhlas dengan China di samping meningkatkan kerjasama.

Menyentuh tentang krisis Ukraine, Presiden Xi menunjukkan bahawa China, Perancis dan Eropah telah meluahkan harapan yang sama, iaitu peperangan berkenaan patut ditamatkan secepat mungkin dan menyokong krisis itu diselesaikan melalui langkah politik. Pendirian China yang adil dan objektif serta peranannya yang bersifat membina telah mendapat persetujuan yang luas di masyarakat antarabangsa.

Mengenai konflik Palestin-Israel, Xi menegaskan bahawa "Pelan Dua Negara" merupakan jalan keluar bagi penyelesaian isu tersebut. China menyokong Palestin menjadi anggota rasmi PBB.

Tiga orang pemimpin tersebut berpendapat bahawa pertemuan kali ini telah meningkatkan persefahaman antara ketiga-tiga pihak. Mereka bersedia terus berusaha bersama-sama untuk mendorong hubungan China-Eropah berkembang dengan sihat dan stabil.

Video

Berita Berkaitan