- Lain-lain
China Alu-alukan Perjanjian Gencatan Senjata Antara India dan Pakistan
Jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian pada Isnin berkata, China mengalu-alukan pencapaian perjanjian gencatan senjata antara India dan Pakistan, kerana ia bukan sahaja sesuai dengan kepentingan asas kedua-dua negara itu untuk jangka masa panjang, malah juga bermanfaat bagi keamanan dan kestabilan serantau.
Untuk rekod, India dan Pakistan mencapai perjanjian pada 10 Mei, dan bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta.
Lin Jian menyatakan bahawa sejak situasi antara India dan Pakistan menjadi tegang, China mengekalkan komunikasi rapat dengan pelbagai pihak berkaitan, menyeru kedua-dua negara India dan Pakistan supaya bertenang bagi mengelakkan situasi menjadi meruncing.
Menurut beliau, Menteri Luar China Wang Yi telah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Mohammad Ishaq Dar dan Penasihat Keselamatan India, Ajit Doval menerusi telefon pada Sabtu, untuk mendorong peredaan situasi dan pencapaian gencatan senjata. Sementara kedua-dua pihak India dan Pakistan memberikan respons positif.
"China berharap India dan Pakistan dapat mengukuhkan dan meneruskan momentum gencatan senjata, mengelakkan konflik daripada berulang lagi, menyelesaikan pertikaian secara saksama melalui dialog dan rundingan, dan kembali ke landasan penyelesaian politik," kata Lin.
Beliau menekankan bahawa China bersedia untuk mengekalkan komunikasi dengan India dan Pakistan, selain memainkan peranan membina demi mendorong pencapaian gencatan senjata menyeluruh dan berkekalan antara India dan Pakistan.