Xi Jinping, Narendra Modi Bertemu di New Delhi

(CRI)Ahad 13 September 2026

Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi di New Delhi, India pada petang Sabtu, sempena menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-18.

Kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan secara jujur dan mendalam, dan mencapai persetujuan penting bahawa China dan India harus menjadi rakan kongsi.

Xi turut mengemukakan empat pandangan untuk mendorong hubungan China-India berkembang secara mantap dan stabil.

Beliau berkata, China dan India harus menggariskan hala tuju perkembangan hubungan dua hala dengan pemahaman strategik yang objektif dan rasional. China dan India merupakan rakan kongsi, bukanlah lawan, dan kedua-dua negara saling menyediakan peluang pembangunan, bukanlah ancaman.

China dan India harus mencapai kejayaan bersama melalui kerjasama sama menang, kata Xi sambil menambah bahawa kedua-dua negara seharusnya meningkatkan pertukaran persahabatan dan kerjasama saling menguntungkan, memperluas kerjasama kebudayaan dan menambah penerbangan terus, serta membaiki asas persahabatan dalam kalangan rakyat.

Di samping itu, kata Xi, China dan India sepatutnya mengetepikan gangguan dengan kebijaksanaan politik saling menghormati dan memahami, berusaha untuk membaiki hubungan dua hala sambil mempromosikan penyelesaian isu sempadan, serta bersama-sama memelihara keamanan dan ketenteraman di kawasan sempadan.

Selain itu, Xi juga menegaskan bahawa China dan India harus menjalankan koordinasi pelbagai hala yang terbuka dan inklusif demi kebaikan dunia.

Beliau mengingatkan kedua-dua negara perlu meningkatkan koordinasi dalam rangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), Kumpulan 20 (G20) dan lain-lain, supaya menghadapi cabaran global bersama-sama dan mempertahankan keadilan dan kesaksamaan antarabangsa dengan tegas.

Narendra Modi pula menyatakan bahawa India sentiasa memandang hubungan India-China dari perspektif strategik dan jangka masa panjang.

Beliau menegaskan bahawa India bersedia menjadi rakan kongsi China, dan menganggap pembangunan satu sama lain sebagai peluang.

Modi berkata, dasar dan pendirian India berhubung Taiwan dan Xizang adalah konsisten dan tidak akan berubah, dan India tidak membenarkan mana-mana pihak menjalankan kegiatan anti-China di India.

Beliau menambah, India dan China perlu berusaha bersama untuk memelihara kedamaian dan ketenteraman di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Selain itu, Modi turut mengucapkan terima kasih kepada China atas sokongannya terhadap penganjuran Sidang Kemuncak BRICS. Pada masa sama, India akan memberikan sokongan penuh kepada China untuk mengambil alih kepengerusian BRICS pada tahun depan.

Video