Xi, Trump Adakan Rundingan di Rumah Putih

(CRI)Jumaat 25 September 2026

Presiden China Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengadakan rundingan di Rumah Putih pada Khamis pagi waktu tempatan.

Xi berkata, pembentukan hubungan konstruktif China-AS berasaskan kestabilan strategik adalah langkah penting yang menuju ke cara betul untuk menghendalikan hubungan dua hala, kerana ia bukan sahaja mencerminkan keadaan hubungan kedua-dua negara pada masa ini, tetapi juga memperlihatkan aspirasi terhadap masa depan.

"Kedua-dua pihak harus menjadikan visi itu kenyataan melalui langkah konkrit, demi mencipta masa depan hubungan China-AS yang mantap, sihat dan lestari," kata Xi.

Beliau menyatakan bahawa kedaulatan dan keselamatan pelbagai negara patut dihormati dan itulah pendirian konsisten China.

"China sentiasa memainkan peranan membina dalam meredakan ketegangan situasi, menggalakkan pelbagai pihak berkaitan memilih cara damai dan mengadakan rundingan.

"China menyokong AS dan Iran kembali ke Memorandum Persefahaman Islamabad, dan berharap kedua-dua pihak itu memulihkan semula rundingan sehingga mencapai perjanjian komprehensif yang melibatkan isu nuklear serta mewujudkan kedamaian secepat mungkin," ujar Xi.

Beliau menekankan bahawa pendirian China dalam menjaga penyatuan negara dan keutuhan wilayah adalah jelas. Pihak AS diharap mempertahankan pendirian menentang "kemerdekaan Taiwan", agar meletakkan asas yang kukuh kepada kerjasama strategik China-AS dan hubungan dua hala.

Beliau menambah bahawa pembentukan hubungan konstruktif China-AS berasaskan kestabilan strategik bukanlah keputusan untuk sementara waktu dan juga mustahil untuk dicapai dalam semalam. Pelbagai jabatan, lapisan dan kalangan di kedua-dua negara harus terlibat dan secara proaktif melaksanakan konsensus yang sudah dicapai.

Video

Berita Berkaitan