Xi, Trump Adakan Pertemuan Bersejarah di Rumah Putih

(CRI)Jumaat 25 September 2026

Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengadakan pertemuan dua hala peringkat tinggi di Rumah Putih pada Khamis waktu tempatan.

Pertemuan tersebut menyaksikan kedua-dua pemimpin besar dunia itu berbincang mengenai hala tuju hubungan diplomatik, kerjasama ekonomi, kawal selia kecerdasan buatan (AI), serta isu-isu geopolitik global.

Dalam pertemuan itu Xi berkata, kekerapan lawatan timbal balik antara ketua negara dalam tempoh kurang daripada setengah tahun adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah hubungan China-AS.

"Pada Mei tahun ini, saya dan Presiden Trump telah sebulat suara untuk membina hubungan strategik yang stabil dan konstruktif antara kedua-dua negara. Kedudukan baharu ini mencerminkan realiti hubungan China-AS dan juga mencerminkan harapan terhadap masa depan, serta merupakan satu langkah penting ke arah cara yang betul bagi kedua-dua pihak", kata Xi.

"Kita perlu menukar visi ini kepada tindakan, persaingan yang sihat, kawalan perselisihan, serta keamanan demi meneroka jalan yang betul untuk dua negara besar ini saling bekerjasama".

Xi menegaskan bahawa pasukan ekonomi dan perdagangan kedua-dua pihak telah mengadakan pusingan rundingan baharu dan mencapai satu pengaturan bersama yang baharu, yang merupakan berita baik untuk industri kedua-dua negara, rakyat biasa, malah ekonomi global.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kerjasama adalah jalan dua hala, serta kestabilan hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS memerlukan pemanjangan senarai kerjasama dan juga mengecilkan senarai masalah.

Menurut Xi, China dan AS sebagai kuasa besar dalam bidang AI, mempunyai ruang persaingan, namun memiliki potensi kerjasama yang lebih besar.

Kedua-dua pihak sepatutnya memanfaatkan kelebihan masing-masing dan bukan saling mencurigai.

Ujarnya kedua-dua pihak boleh terus mengadakan dialog melibatkan AI, berinteraksi mengenai risiko dan manfaatnya, serta bersama-sama mencegah penyalahgunaan AI.

Xi juga menekankan bahawa pendirian China dalam mempertahankan penyatuan negara dan keutuhan wilayah adalah sangat jelas.

AS diharap dapat memegang pendirian yang betul menentang "kemerdekaan Taiwan", mengendalikan isu Taiwan dengan berhati-hati supaya meletakkan asas yang kukuh bagi kerjasama strategik dan perkembangan hubungan kedua-dua negara.

Sementara itu Trump pula menyatakan bahawa lawatan negara Presiden Xi ke AS kali ini adalah satu lawatan yang hebat.

Katanya AS dan China kedua-duanya adalah kuasa besar, beliau dan Xi adalah kawan baik yang mengekalkan komunikasi yang mendalam dan rapat.

"Di bawah pimpinan kami, hubungan AS-China pasti dapat diuruskan dengan baik", kata Trump.

Selain itu pemimpin kedua-dua negara juga bertukar-tukar pandangan mengenai situasi di Asia Barat, krisis Ukraine, Semenanjung Korea dan isu-isu antarabangsa dan serantau yang lain.

Xi dan Trump juga mengesahkan akan saling menyokong dalam penganjuran Mesyuarat Tidak Rasmi Pemimpin APEC 2026 dan Sidang Kemuncak G20.

Video

Berita Berkaitan