- Lain-lain
Rundingan Perdagangan China-AS Ke-8 Capai Pelbagai Konsensus
China dan Amerika Syarikat (AS) berjaya mencapai pelbagai konsensus penting selepas mengadakan Rundingan Ekonomi dan Perdagangan Ke-8 yang berlangsung di New York, baru-baru ini.
Jurucakap Kementerian Perdagangan China, He Yadong dalam sidang media pada Khamis berkata, rundingan yang berpandukan konsensus utama ketua negara kedua-dua pihak itu dikendalikan atas prinsip saling menghormati, hidup bersama secara aman, dan kerjasama menang-menang.
Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua pasukan ekonomi telah mengadakan perbincangan secara jujur, mendalam, dan membina berhubung isu perdagangan yang menjadi kepentingan bersama.
"Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk pelaksanaan konsensus rundingan ekonomi sedia ada, pengaturan pengurangan tarif secara timbal balik, serta penubuhan Majlis Perdagangan dan Majlis Pelaburan.
"Selain itu, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai pelanjutan tempoh Pengaturan Bersama Rundingan Ekonomi dan Perdagangan Kuala Lumpur," kata He.
He memaklumkan Naib Perdana Menteri China, He Lifeng dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent yang bertindak sebagai peneraju utama, turut mengadakan dialog sulung mengenai kecerdasan buatan (AI) di bawah mekanisme rundingan tersebut.
Beliau menambah, China akan terus berkomunikasi secara rapat dengan pihak AS di bawah mekanisme rundingan ekonomi dan perdagangan China-AS mengenai kerja-kerja susulan.
- Xi Jinping Tiba di Washington
- Pertukaran Lawatan Pemimpin China-AS dalam Setengah Tahun Amat Bermakna - MFA
- Rundingan Dagangan China-AS Berlangsung di New York
- He Lifeng Ketuai Delegasi ke AS untuk Rundingan Dagangan
- Wang Yi, Rubio Berhubung menerusi Telefon Bincang Pertukaran Peringkat Tinggi
- China, AS Kekalkan Komunikasi Mengenai Interaksi Pemimpin - MFA
- Dialog China, AS Suntik Kepastian kepada Pembangunan Masing-masing
- Dialog Trek 1.5 China-AS Berlangsung di Beijing
- Perbincangan Wakil Dagangan China, AS Jujur dan Konstruktif
- Wang Yi, Rubio Adakan Perbualan Telefon, Bincang Hubungan China-AS




