“Siri Ceramah Hubungan China-ASEAN” Anjuran ACC Diadakan di Universiti Minzu Guangxi

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Ahad 18 September 2022

Atas undangan Pusat China-ASEAN (ACC), Duta Besar Malaysia ke China, Raja Dato’ Nushirwan Zainal Abidin telah menghadiri “Siri Ceramah Hubungan China-ASEAN” yang diadakan di Universiti Minzu Guangxi sempena Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-19 di Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi pada 18 September 2022.

Yang turut hadir Setiausaha Agung ACC, Chen Dehai, Presiden Universiti Minzu Guangxi Minzu (GXMZU), Xie Shangguo, Presiden Kolej Perniagaan dan Vokasional Antarabangsa Guangxi (GXIBVC), Wang Guohong, Konsul Jeneral Malaysia ke Nanning, Azlimi Zakaria, Pengarah (Pemangku) Education Malaysia Beijing (EMB), Jason Choy Min Sheng dan Naib Pengarah Bahagian Penerangan dan Perhubungan Awam (IPRD) ACC, Fang Qiang.

Upacara perasmian aktiviti tersebut telah dipengerusikan oleh Naib Presiden GXMZU, Cui Xiaolin dan dihadiri hampir 50 orang ahli fakulti dan mahasiswa-mahasiswi jurusan bahasa Melayu dari GXMZU dan GXIBVC.

Xie telah mengalu-alukan kehadiran Duta Besar Raja Dato’ Nushirwan dan delegasinya. Beliau berkata, China dan Malaysia mempunyai persahabatan tradisional yang menjangkau ribuan tahun dan merupakan rakan kerjasama strategik yang saling menguntungkan. Menurut beliau, GXMZU antara universiti pertama yang menawarkan program bahasa Melayu di Guangxi. Pihaknya telah menjalankan kerjasama yang meluas dan mendalam dengan banyak universiti di Malaysia dalam bidang bahasa dan kebudayaan, penyelidikan saintifik serta latihan mengasah bakat. Beliau yakin bahawa aktiviti kali ini akan memperdalam pemahaman mahasiswa terhadap hubungan China-ASEAN, terutamanya hubungan China-Malaysia di samping membentuk asas yang kukuh bagi pertukaran dan kerjasama antara China dengan Malaysia pada masa depan.

Setiausaha Agung ACC, Chen Dehai pula mengucapkan terima kasih kepada Raja Dato’ Nushirwan yang sudi menyampaikan ceramah di GXMZU sebagai Duta Besar Malaysia, negara kehormat CAEXPO ke-19 atas jemputan ACC. Beliau menegaskan bahawa hubungan perkongsian strategik komprehensif China-ASEAN adalah peristiwa penting dalam sejarah hubungan kedua-dua pihak. Selain itu, hubungan persahabatan China-Malaysia yang semakin matang dan mendalam juga akan memperkukuh ikatan kerjasama persahabatan China-ASEAN secara menyeluruh. Beliau melahirkan harapan agar semua pelajar yang hadir akan menjadi generasi penerus bagi usaha persahabatan China-Malaysia dan China-ASEAN, sekali gus menyuntik tenaga baharu bagi perkembangan hubungan China-ASEAN yang semakin rancak.

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Dato’ Nushirwan telah menyampaikan ceramah tentang hubungan Malaysia-China, bahasa Melayu dan kebudayaan Malaysia dalam bahasa Melayu. Beliau telah menghuraikan pertukaran mesra antara Malaysia dengan China yang telah bersejarah beribu-ribu tahun di samping pertukaran dan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan pendidikan.

Tegas beliau, hubungan rapat Malaysia-China mempunyai asas yang kukuh. Pada beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan bilateral kedua-dua negara dieratkan lagi melalui usaha melawan wabak COVID-19. Selain itu, hubungan ASEAN-China yang semakin erat juga memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

Beliau berharap mekanisme kerjasama yang sedia ada antara Malaysia dengan China akan terus beroperasi secara mantap supaya kedua-dua pihak akan mencapai lebih banyak kata sepakat dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan dan pendidikan.

Selepas sesi ceramah, Raja Dato’ Nushirwan telah menghadiahkan buku dan bahan bahasa Melayu kepada GXMZU dan GXIBVC. Menurut beliau, pengajaran bahasa Melayu berkembang pesat di China dengan sokongan dan promosi kerajaan China. Mendorong pengantarabangsaan bahasa Melayu merupakan satu dasar diplomatik Malaysia yang penting. Kedutaan Besar dan konsulat-konsulat Malaysia di China akan terus berusaha mempromosikan bahasa Melayu di China di samping secara lebih aktif menyediakan peluang dalam pertukaran pelajar ke Malaysia.

Sempat juga beliau menjawab soalan-soalan dikemukakan pensyarah dan mahasiswa yang melibatkan status dan pernana bahasa Melayu pada masa hadapan serta sokongan dan bantuan yang akan diberikan Malaysia kepada pelajar China. Suasana sesi ceramah itu hangat dan mesra.

Selepas acara ceramah, Raja Dato’ Nushirwan dan Chen telah mengunjungi kampus GXMZU dengan ditemani Xie dan menonton pertunjukkan kaligrafi serta upacara minum teh yang disediakan oleh para mahasiswa.

Sebelum acara ceramah dimulai, Xie telah bertemu dengan Raja Dato’ Nushirwan dan Chen untuk bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama antara GXMZU dengan universiti-universiti di Malaysia dan negara anggota ASEAN yang lain.

Gaya Hidup