Peluang Kedua buat Gajet Terpakai

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 16 November 2022

Seorang pengguna (kiri) membelek telefon bimbit terpakai di sebuah cawangan ATRenew di Shanghai pada bulan September (GAMBAR oleh FAN JIANLEI/CHINA DAILY)

Belia celik teknologi, pentingkan alam sekitar terima gaya hidup hijau, mampan.

Pernahkah terfikir apa yang akan terjadi kepada ratusan juta telefon pintar, komputer riba dan alat elektronik lain yang tidak lagi dikehendaki apabila pengguna bertukar kepada gajet terkini dari semasa ke semasa?

Kini, alat-alat yang disingkirkan itu mencari jalan ke platform atas talian untuk dijual semula sebagai barangan terpakai pada harga yang menarik ataupun disalurkan ke pusat kitar semula jika dianggap rendah nilainya.

Semakin ramai pembeli muda yang celik internet dan mementingkan alam sekitar meninggalkan tabiat lama menolak barangan terpakai. Mereka sebaliknya mencari produk berkualiti tinggi dan mampu milik di platform dagangan barangan terpakai.

China kekal sebagai pasaran telefon pintar terbesar di dunia. Menurut laporan Persatuan Ekonomi Pekeliling China, dalam tempoh lima tahun lalu, pada puratanya sebanyak 430 juta telefon bimbit dijual di negara ini setiap tahun, iaitu 30 peratus daripada jualan telefon pintar global.

Sementara itu, dilaporkan juga kira-kira 370 juta telefon bimbit telah dibuang pada 2020, dan angka itu meningkat kepada 404 juta tahun lepas. Bagaimanapun, menurut laporan Ogos yang memetik data Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat, hanya 2 peratus daripadanya telah dikitar semula menggunakan saluran betul.

Berbanding peniaga jalanan yang terlibat dalam kegiatan kitar semula telefon bimbit, platform dalam talian menyediakan pengguna sebuah saluran kitar semula yang lebih dipercayai dan stabil dengan struktur harga yang telus.

Platform kitar semula alat elektronik ATRenew Inc yang berpangkalan di Shanghai, sebelum ini dikenali sebagai aihuishou — "cintakan kitar semula" — menumpukan pada jual beli dan kitar semula produk elektronik terpakai seperti kamera, telefon dan komputer riba, dengan tujuan untuk meminimumkan kesan negatif barang elektronik terbuang kepada alam sekitar.

Ditubuhkan pada 2011, ATRenew, yang bermaksud "semuanya diperbaharui" telah membuka 1,629 kedai fizikal di 241 bandar di seluruh negara setakat 30 Jun.

Syarikat itu melaporkan jumlah pendapatan bersihnya meningkat 14.9 peratus tahun ke tahun kepada 2.15 bilion yuan (1.37 bilion ringgit) pada suku kedua, manakala jumlah dagangan kasarnya atau GMV mencecah 8.6 bilion yuan (5.49 bilion ringgit), meningkat 10.3 peratus.

"Walaupun perniagaan kami menghadapi masalah jangka pendek akibat pandemik COVID-19, kami yakin bahawa permintaan untuk kitar semula alat elektronik, tukar beli dan perkhidmatan nilai tambah lain akan terus bertambah seiring dengan perkembangan jangka panjang ekonomi pekeliling di China," kata Chen Xuefeng, pengasas bersama, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ATRenew. 

Pengguna melihat-lihat alat elektronik terpakai di kedai Zhuanzhuan di Beijing pada Januari 2021 (GAMBAR oleh CHINA DAILY)

Syarikat tersebut kini mengendalikan empat jenis perniagaan, meliputi platform kitar semula alat elektronik secara pengguna kepada perniagaan atau C2B Aihuishou, platform dagangan elektronik terpakai B2B Paijitang, platform terpakai B2C Paipai serta Peranti AHS yang menumpukan pada pengitaran semula barang elektronik di pasaran global.

Proses kitar semula telefon bimbit bermula dengan pelupusan maklumat dan data, yang tidak dapat dibalikkan. Telefon kategori kelas permulaan akan diserahkan kepada syarikat kitar semula sisa elektronik untuk dibuka dan diekstrak komponen logamnya, manakala barang buangan premium akan dijual semula sebagai barangan terpakai selepas diproses secara profesional.

Du Xiaochen, naib presiden ATRenew berkata, pihaknya sedang meningkatkan usaha untuk membina sistem kitar semula dalam dan luar talian serta meningkatkan kapasiti rantaian bekalan sambil mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan transaksi.

Du berkata syarikat berkenaan sedang mencari sumber pendapatan baharu dengan menawarkan penyelenggaraan telefon pintar, jualan produk persisian dan perkhidmatan nilai tambah lain serta mengembangkan kategori produk meliputi produk mewah dan peralatan fotografi di kedai luar taliannya di bandar-bandar utama.

ATRenew telah bekerjasama dengan pembuat telefon pintar untuk melancarkan perkhidmatan "menukar beli yang lama untuk yang baharu", membentuk sistem pemeriksaan kualiti terpiawai, di samping menambah baik perkhidmatan selepas jualan untuk alat elektronik terpakai.

Pada 2019, syarikat tersebut bergabung dengan Paipai, platform dagangan terpakai yang disokong oleh raksasa e-dagang JD, dalam usaha untuk menstandardkan lagi proses kitar semula alat elektronik dan meningkatkan kecekapan dengan memanfaatkan kekuatan jualan runcit, logistik dan teknologi JD.

Li Zhifeng, seorang jurutera perisian berusia 27 tahun dari Taiyuan, ibu kota provinsi Shanxi sedang mempertimbangkan untuk menggantikan iPhone X yang dibelinya kira-kira empat tahun lalu dengan iPhone 14 yang baru dilancarkan.

"Saya merancang untuk menjual telefon lama saya. Bagaimanapun, saya tidak mempercayai peniaga jalanan yang terlibat dalam usaha kitar semula telefon bimbit kerana saya bimbang maklumat peribadi saya mungkin dibocorkan dan nilai telefon terpakai tidak dapat ditaksir dengan tepat," kata Li.

Li menambah, beliau mungkin akan lebih cenderung memilih saluran rasmi yang menawarkan harga yang jelas dan berpatutan untuk komoditi terpakai.

Menurut syarikat konsultan China Insights Consultancy, skala pasaran produk elektronik pengguna terpakai China dijangka berjumlah 967.3 bilion yuan (617.23 bilion ringgit) pada 2025 berbanding 252.2 bilion yuan (160.93 bilion ringgit) pada 2020, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun mencecah 30.8 peratus dalam tempoh ini.

Pan Helin, pengarah bersama Pusat Penyelidikan Ekonomi Digital dan Inovasi Kewangan di Institut Perniagaan Antarabangsa Universiti Zhejiang menyeru usaha untuk memperkukuh pembangunan terpiawai dan terkawal industri kitar semula telefon pintar. Juga perlu dititikberatkan, pembentukan standard industri yang berkaitan meliputi pelupusan maklumat peribadi serta penetapan harga asas pasaran untuk telefon yang dikitar semula.

Pan berkata kerjasama dengan pembuat telefon pintar sedia ada dan platform kitar semula alat elektronik harus diperkukuh bagi mengurangkan lagi kos transaksi, dan merangsang kesediaan orang ramai untuk menjual telefon yang tidak lagi digunakan.

Julai lalu, Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China mengeluarkan pelan pembangunan untuk memacu ekonomi pekeliling dalam tempoh Rancangan Lima Tahun Ke-14 (2021-25). Ekonomi pekeliling merujuk kepada model yang memfokuskan pada pengitaran dan penggunaan semula bahan dan sumber.

NDRC telah menggesa usaha untuk mempercepat penubuhan sistem kitar semula untuk barangan dan bahan buangan, menambah baik rangkaian kitar semula barangan terbuang, meningkatkan pemprosesan dan penggunaan sumber boleh baharu, dan membangunkan industri perdagangan dan membaik pulih barangan terpakai dengan teratur.

Pembangunan ekonomi pekeliling kondusif untuk membantu mencapai matlamat negara untuk mencatat puncak pelepasan karbon menjelang 2030 dan merealisasikan neutraliti karbon menjelang 2060, kata pakar.

Menurut laporan oleh firma perunding global Frost & Sullivan serta Institut Tenaga, Alam Sekitar dan Ekonomi Universiti Tsinghua, perdagangan barangan yang kurang digunakan atau tidak lagi dikehendaki satu bahagian penting dalam ekonomi pekeliling yang dapat menggalakkan penggunaan mampan sumber boleh dikitar semula di China dan membantu mengurangkan pelepasan karbon.

Memetik laporan tersebut, setiap transaksi melibatkan telefon bimbit terbuang boleh mengurangkan sekurang-kurangnya 25 kilogram pelepasan karbon, sementara bagi peti sejuk pula boleh merealisasikan 130 kg pengurangan pelepasan berkaitan.

"Pengitaran semula telefon pintar melalui saluran betul adalah kondusif untuk memanjangkan kitaran hayat alat tersebut, mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada pembangunan mampan alam sekitar," kata Wu Shenkuo, profesor undang-undang dan penolong dekan Institut Penyelidikan Pembangunan Internet di Beijing Normal Universiti.

Lebih banyak usaha harus dilakukan untuk memilih saluran formal dan penyedia perkhidmatan yang boleh dipercayai untuk melaksanakan proses kitar semula, terutamanya memastikan pemadaman sepenuhnya data peribadi, kata Wu sambil menambah bahawa pihak berkuasa harus mengukuhkan penyeliaan dan pengurusan untuk melindungi privasi pengguna.

Zhuanzhuan, satu lagi platform dagangan dalam talian untuk barangan terpakai di China, telah menubuhkan pusat operasi dan kedai di Beijing, Shenzhen di provinsi Guangdong, Qingdao di provinsi Shandong, dan Chengdu di provinsi Sichuan untuk mempromosikan pengitaran semula dan pengedaran sumber terbiar termasuklah telefon bimbit terpakai. Pusat pengisihan pintar, penggudangan dan pemeriksaan kualiti untuk pelbagai jenis barangan terpakai di Qingdao telah mula beroperasi pada bulan Julai.

Berdasarkan data transaksi besar-besaran dan algoritma berasaskan kecerdasan buatan, Zhuanzhuan telah melancarkan sistem panduan harga komoditi terpakai yang boleh memenuhi keperluan pengguna dengan tepat dan meningkatkan kesediaan mereka untuk menjual barangan yang tidak lagi dikehendaki di platform terbabit.

Pembangunan mampan rendah karbon telah menjadi trend yang memacu pembangunan sosial dan ekonomi, kata Huang Wei, Ketua Pegawai Eksekutif Zhuanzhuan. "Kami telah melihat bahawa konsep penggunaan orang ramai telah berubah dengan ketara, dengan permintaan mereka menjadi semakin pelbagai, kerana mereka sanggup membeli dan menggunakan barangan terpakai dan menjual barangan yang tidak mereka gunakan dan tidak lagi dikehendaki."

Huang berkata perniagaan terasnya, iaitu perkhidmatan kitar semula produk elektronik pengguna telah mencatatkan pertumbuhan tiga digit pada 2021. Beliau turut berpendapat bahawa peredaran dan pengitaran semula komoditi yang tidak digunakan, termasuk telefon pintar terpakai boleh mengurangkan pelepasan karbon dengan berkesan.

"Dalam enam tahun yang lalu, kami telah mencapai lebih daripada 1.78 juta tan metrik pengurangan pelepasan karbon dengan kerjasama pengguna dalam meningkatkan peredaran barangan yang tidak lagi dikehendaki. Kuantiti ini bersamaan dengan pengurangan penggunaan tenaga oleh kenderaan berkuasa bahan api fosil pada anggaran perbatuan 10 bilion kilometer," kata Huang.

Huang menyatakan syarikatnya akan meningkatkan pelaburan dalam penilaian pintar berasaskan kecerdasan buatan, sistem harga dinamik serta inovasi saintifik dan teknologi, membina platform digital dan sekaligus meningkatkan kelancaran peredaran barangan terpakai untuk memenuhi permintaan penggunaan yang pelbagai.

Mo Daiqing, seorang penganalisis kanan di Institut Ekonomi Internet yang merupakan sebuah firma konsultan domestik berkata, pasaran terpakai domestik yang masih di peringkat permulaan mempunyai potensi pertumbuhan yang besar. Namun begitu, kadar penembusan kitar semula dalam talian dan platform dagangan masih agak rendah.

Sementara itu, model perniagaan baharu tersebut telah menghadapi banyak masalah. Mo berkata, penjual mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pembeli sebelum urus niaga berlaku pada platform sebegini, yang mungkin mengakibatkan munculnya produk-produk palsu dan berkualiti rendah serta berlakunya penipuan semasa proses transaksi.

"Bagaimana menangani isu di atas dan mewujudkan kepercayaan antara penjual dan pembeli, kunci kepada pasaran terpakai," tambah Mo.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan