Guru Berdedikasi Didik Anak Perempuan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 09 November 2022

Zhang Guimei, pengetua sekolah di Yunnan [Gambar oleh Zhao Qingzu / Lijiang Daily]

Tahun 1995 merupakan tempoh paling gelap dalam hidup Zhang Guimei. Beliau telah kehilangan suami tercinta akibat kanser, setelah menghabiskan seluruh simpanan untuk merawat penyakitnya itu. Sebelumnya, beliau telah kehilangan ibu bapa.

Berasa terdesak, Zhang memohon untuk meninggalkan bandar Dali, provinsi Yunnan, tempat beliau dan suami telah menabur bakti sebagai guru, dan berhijrah ke kawasan pergunungan Huaping yang terpencil di bandar Lijiang, Yunnan, sebuah daerah yang asing untuknya.

“Saya mahu mencari sebuah tempat tanpa mereka yang mengenali saya mahupun mengingatkan saya kepada mana-mana memori indah dalam hidup. Saya membuang diri saya sendiri,” kenang Zhang yang dilahirkan pada 1957 di Heilongjiang dan berpindah ke provinsi Yunnan pada 1974.

Keputusannya itu bukan sahaja mengubah hidupnya, malah turut mengubah hidup sejumlah kanak-kanak yang tinggal di kawasan pergunungan. Walaupun dirinya dalam kegelapan, Zhang membawa sinar cahaya untuk menerangi hidup orang lain. Beliau telah terpilih sebagai anggota delegasi untuk Kongres Kebangsaan Parti Komunis China yang ke-20.

Pada 1997, beliau disahkan menghidap fibroid rahim. Terharu menerima sumbangan daripada rakan-rakan sekerja dan para pelajarnya, beliau bertekad untuk membalas jasa mereka.

“Saya tidaklah memberi banyak sumbangan kepada daerah, malah membawa masalah sebegini pula. Saya rasa bersalah. Saya hanya boleh cuba sebaik mungkin sebagai pendidik dan berharap boleh banyak lagi berbuat bakti untuk daerah ini,” kata Zhang.

Beliau telah melihat begitu ramai remaja perempuan berhenti sekolah. Selepas berkunjung ke rumah mereka, yang didapatinya ialah faktor kemiskinan dan persepsi kolot telah menghalang ibu bapa daripada menggalakkan anak-anak perempuan bersekolah. Malahan, remaja perempuan dikahwinkan ketika masih mentah.

Bagi mengubah situasi ini, Zhang memasang niat untuk menubuhkan sekolah tinggi yang menawarkan pendidikan percuma untuk remaja perempuan setempat. Beliau cuba mengumpulkan dana, namun gagal kerana dianggap sebagai penipu oleh ramai orang.

Peluang untuk membuat perubahan akhirnya tiba apabila beliau dipilih sebagai anggota delegasi Kongres Kebangsaan Parti Komunis China ke-17 pada 2007. Setelah menerima temu bual yang membolehkannya berkongsi cita-cita murninya itu, kerajaan tempatan terus membantu guru berdedikasi ini merealisasikan impian hinggalah tertubuhnya Sekolah Tinggi Lijiang Huaping untuk remaja perempuan pada 2008, dengan Zhang sebagai pengetua.

Zhang Guimei, Guru Besar Sekolah Menengah Tinggi Perempuan Huaping di Lijiang, provinsi Yunnan memastikan pelajar dapat makan sarapan selepas sesi bacaan pagi pada tahun lepas. (sumber gambar: Jiang Wenyao, Agensi Berita Xinhua)

Seramai 96 orang pelajar yang berpendidikan rendah telah diterima oleh sekolah tersebut pada tahun yang pertama.

“Kami akan menghulurkan bantuan kepada perempuan dari kawasan pergunungan untuk menghayati dunia luar yang lebih besar ”, Zhang berkata demikian ketika diwawancara China Global Television Network (CGTN).

Sejak ditubuhkan, seramai lebih 2,000 orang pelajar sekolah tersebut sudah keluar dari kawasan pergunungan. Kehidupan mereka turut berubah. Sekolah tersebut pula menjadi salah sebuah sekolah menengah tinggi yang terbaik di Lijiang.

 Selain kerja sekolah, Zhang juga menyandang Dekan Rumah Kebajikan Kanak-kanak Huaping. Beliau selalu menziarahi dan menjaga anak yatim di situ.

Zhang telah menjejak kaki ke hampir setiap sudut Lijiang selama bertahun-tahun. Nasib banyak keluarga telahpun berubah. Walaupun beliau hidup seorang diri tanpa anak sendiri, namun beliau telah menjadi ibu kepada ramai anak yatim.

Zhang menceburi usaha pendidikan dengan sepenuh hati sehingga tidak mempedulikan kemerosotan kesihatan sendiri. Meskipun menghidap arthritis rheumatoid, fibrosis paru-paru dan masalah perut yang serius, tapi beliau masih terus bekerja.

“Dalam tempoh sedekad lalu, parti dan kerajaan kita berusaha untuk memastikan setiap kanak dapat bersekolah. Matlamat ini telah dicapai”, kata Zhang setelah beliau mendengar laporan disampaikan Presiden Xi Jinping bagi pihak Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) ke-19 dalam kongres pada Ahad lalu.

Memandang masa hadapan, beliau berharap membawa kanak-kanak keluar dari kawasan pergunungan dan mengikuti jejak arus modenisasi. “Ini memerlukan pengetahuan ilmu dan keupayaan guru. Sebagai guru, kami seharusnya memajukan diri selain mendidik pelajar. Tapi tak kira apa pun, kami perlu berusaha supaya tidak mengheret usaha modenisasi negara kita”, kata Zhang.

Gaya Hidup