Kerjasama Ekonomi Perdagangan China-Malaysia Dinamik

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 27 September 2022

Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-19 telah melabuhkan tirainya di Nanning, wilayah Guangxi baru-baru ini. Malaysia diundang sebagai negara tema bagi ekspo tersebut untuk kali kedua. Sebanyak 34 buah syarikat Malaysia telah menyertai ekspo kali ini, antaranya 23 syarikat menyertai pameran berkenaan secara luar talian. Pencapaian bidang makanan, minuman, penjagaan kesihatan, petroleum dan gas asli telah ditunjukkan dalam ekspo kali ini.

Pempamer makanan dari Malaysia, Sarah menyatakan bahawa syarikatnya telah menerima banyak tempahan buah-buahan melalui siri sidang promosi perdagangan dan siaran langsung dalam talian CAEXPO. Bahkan terdapat peniaga China mahu terus membeli buah-buahannya di Malaysia. Pada pendapat beliau, CAEXPO merupakan wahana penting untuk memperkukuh pertukaran ekonomi antara China dengan ASEAN, merancakkan aktiviti perdagangan dan mendorong pemulihan ekonomi serantau.

Sejak menyertai CAEXPO pada 2004, Malaysia telah menghantar lebih 2,000 buah syarikat untuk menyertai pameran. Jumlah perdagangan pula telah melebihi satu bilion dolar Amerika. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, banyak produk jenama Malaysia telah meneroka pasarannya di China melalui CAEXPO sementara CAEXPO telah menjadi wahana penting bagi syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran China.

Kawasan pameran khas ulang tahun ke-10 pembinaan "Dua Negara, Dua Taman" telah disediakan oleh pihak penganjur CAEXPO kali ini. Pelbagai forum juga diadakan serentak dengan ekspo tersebut. Sebagai projek utama kerjasama China dan Malaysia, Taman Perindustrian Qinzhou di China dan Taman Perindustrian Kuantan di Malaysia dilihat sebagai penggerak baharu kepada pemulihan ekonomi pasca pandemik, sekali gus menjadi model baharu dalam pembinaan bersama inisiatif “Jalur dan Laluan" (BRI) .

Pada 18 Mac tahun ini, perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah berkuat kuasa secara rasmi di Malaysia. Naib Ketua Akademi Sosial Guangxi, Xie Guihai berkata, nilai kerjasama pelaburan “Dua Negara, Dua Taman” China-Malaysia akan ditingkatkan lagi di bawah rangka RCEP. Menurut beliau, Malaysia secara aktif menyertai dan menyokong CAEXPO. Tahun ini, Malaysia sekali lagi diundang menjadi negara tema ekspo kali ini. Pengintensifan dan pembangunan kerjasama China-Malaysia dijangka akan menghadapi peluang baharu, menunjukkan dinamik dan menghasilkan dividen baharu.

Dato' Low Kian Chuan, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berpendapat bahawa persekitaran perdagangan bebas yang bertaraf tinggi yang diwujudkan oleh RCEP akan mendorong integrasi antara rantai industri dan pembekalan perdagangan Malaysia-China, sekali gus mempergiat pembangunan perdagangan digital serantau dan terus mengoptimumkan persekitaran perniagaan.

China merupakan rakan dagangan terbesar bagi Malaysia. Setakat penghujung 2021, pelaburan langsung China ke Malaysia telah melebihi USD 10 bilion (≈RM 46.9 bilion), manakala pelaburan langsung Malaysia ke China pula telah menghampiri USD 8 bilion (≈RM 37.5 bilion). Pada 2021, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara tersebut telah mencatat USD 176.8 bilion (≈RM 829.4 bilion) dengan meningkat 34.5% berbanding tempoh yang sama tahun yang lalu. Kelajuan peningkatannya lebih tinggi daripada kadar puratanya perdagangan China dengan 10 buah negara anggota ASEAN pada tahun yang sama.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa kerjasama pragmatik Malaysia-China mencapai hasil yang cemerlang, sementara projek-projek besar pula berjalan lancar. Malaysia menaruh harapan yang tinggi terhadap masa depan hubungan Malaysia-China, dan bersedia untuk meningkatkan kerjasama dan kesalinghubungan kedua-dua negara dalam pelbagai bidang di samping membincangkan prospek pembinaan laluan tengah landasan kereta api Trans-Asia (TAR). Lebih banyak perusahaan China dialu-alukan melabur di Malaysia untuk membantu Malaysia merealisasikan inovasi, inklusif dan pembangunan mampan.

Gaya Hidup