Guru Ubah Kehidupan Penduduk Kawasan Pergunungan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 09 November 2022

Pada pukul 5:30 pagi, ketika langit mula cerah, Liu Xiuxiang yang tubuhnya kurus dengan berbaju putih telah menunggu kedatangan para pelajarnya di kelas.

Liu Xiuxiang, berumur 34 tahun, telah mengamalkan kehidupan sedemikian selama sedekad sebagai Naib Guru Besar dan guru sejarah di Sekolah Menengah Eksperimen Wangmo.

Selepas lulus dari universiti pada 2012, Liu telah mengabdikan diri dalam usaha pendidikan dan membantu pelajar yang berhenti sekolah untuk kembali bersekolah di kampung halamannya, iaitu kaunti Wangmo, Daerah Autonomi Miao dan Buyi Qianxinan, provinsi Guizhou

Selain dianugerahkan sebagai “Guru Terindah” 2020 bersama sembilan warga pendidik yang lain oleh Jabatan Publisiti Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dan Kementerian Pendidikan China, beliau juga dipilih menjadi wakil Kongres Kebangsaan ke-20 PKC.

“Saya hanyalah salah seorang daripada puluhan ribu warga pendidik di kawasan pergunungan. Saya akan memberi lebih banyak perhatian terhadap pelajar dan membantu menjadikan guru kawasan ini lebih berkeyakinan”, kata Liu.

Pada umur 4 tahun, bapa Liu meninggal dunia akibat penyakit. Ibu beliau pula menghidap penyakit mental. Enam tahun kemudian, abangnya yang sudah menginjak remaja dan dua orang kakaknya meninggalkan rumah untuk bekerja. Sejak itu, beliau terputus hubungan dengan mereka.

Liu terpaksa bekerja untuk membayar yuran sekolah di samping perlu menjaga ibunya. Pada peringkat sekolah menengah, yuran sekolah beliau telah dibatalkan kerana prestasinya cukup cemerlang.

Pada 2008, Liu mula mempelajari sejarah di Universiti Linyi (LYU), provinsi Shandong. Selain belajar dan menjaga ibu, beliau juga membuat kerja sambilan seperti mengedarkan risalah iklan, menjadi tutor dan pelayan di restoran dan bar.

Pada masa itu, beliau digelar anak berbakti yang belajar sambil menjaga ibunya mengikut laporan media.

Liu enggan menerima bantuan sosial, sebaliknya beliau sendiri membantu dua perempuan dan seorang lelaki untuk membayar yuran sekolah mereka.

Apabila beliau menamatkan pengajian universiti pada 2012, salah seorang pelajar perempuan yang pernah menerima bantuan Liu berhenti sekolah selepas menamatkan pendidikan peringkat sekolah menengah. Liu menolak tawaran gaji yang tinggi sebagai jurujual di Beijing, sebaliknya menyandang jawatan sebagai guru di kampung halaman.

Menurut Liu, memang berbaloi kembali ke Guizhou kerana boleh membantu ratusan malah ribuan kanak-kanak terus bersekolah.

“Saya ingin beritahu kanak-kanak yang bukan berasal dari keluarga berada atau mereka yang berasa bingung pada suatu ketika seperti saya dahulu bahawa terus bertabah hati ketika menghadapi kesukaran atau halangan dalam mengejar impian. Mereka akan sentiasa mendapat sokongan dari saya”, kata Liu.

Selain kerja mengajar, Liu telah melawat ke setiap kampung yang berhampiran dengan sekolahnya dengan menunggang motosikal untuk mempromosi pendidikan kebajikan.

Li Yingfen, salah seorang pelajar Liu telah beberapa kali berhenti sekolah kerana perlu menyara hidup sekeluarga melalui bertani bersama-sama ayahnya. Ibu dan bapa saudaranya menghidap penyakit mental, manakala datuknya juga sakit di rumah. Liu memberitahu Li Yingfen bahawa jangan berhenti sekolah kerana terdapat orang yang berhati mulia sudi menyumbang bantuan kewangan.

Selepas itu, Li dan adiknya dapat meneruskan pembelajaran sehingga memasuki universiti.

Ketika mengunjungi rumah Liu pada cuti semester musim sejuk pada 2018, Li dengan tidak sengaja terlihat sepucuk surat yang dikirimkannya kepada orang yang menghulurkan bantuan kepada mereka selama ini, Li baru sedar bahawa Liu adalah orang tersebut.

“Tanpa bantuan beliau, adalah mustahil bagi saya untuk menyelesaikan pembelajaran di kolej”, kata Li. Selepas lulus dari kolej pada 2021, Li turut menjadi seorang guru di kampung halamannya.

Pada 2016, Liu telah menyediakan fasiliti sokongan pendidikan di sekolah luar bandar di kawasan pergunungan. Selain itu, beliau telah menawarkan latihan untuk guru muda dan membantu memadankan sokongan sosial dengan pelajar yang miskin. Melalui usaha beliau, seramai lebih 4,200 pelajar miskin telah mendapat bantuan kewangan yang berjumlah melebihi RMB 13 juta (USD 1.8 juta).

“Falsafah pendidikan saya adalah tidak berputus asa. Setiap kanak-kanak patut mempunyai masa depan yang lebih cerah”, kata Liu. 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan