Artis China Hasilkan Lukisan Kucing dengan Pistol Paku

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 21 Oktober 2022

Qingchuan, seorang artis muda China, telah menyelesaikan bahagian yang terakhir daripada siri karya lukisannya baru-baru ini. Karya itu sungguh mengagumkan kerana beliau menggambarkan 13 spesies haiwan liar dalam keluarga felidae yang juga dikenali sebagai keluarga kucing yang berhabitat di China dengan menggunakan pistol paku pneumatik dan paku. Beliau berharap kesedaran orang ramai terhadap perlindungan haiwan tersebut dapat ditingkatkan.

Qing, yang dilahirkan di Beijing pada 1980-an, mencipta 13 lukisan tersebut dengan menembak paku pada papan PVC dalam tempoh 8 bulan sejak awal tahun ini. Beliau menggunakan pistol paku, alat yang biasanya digunakan oleh pembina bangunan untuk menghasilkan karya lukisan tersebut. Setiap satu lukisan mewakili satu spesies kucing. Spesies kucing tersebut termasuk harimau, harimau bintang, harimau bintang salji, harimau dahan, lynx, kucing emas, kucing harimau, kucing ikan, kucing Pallas, kucing marmar, kucing pasir, kucing liar Asia dan kucing hutan.

Foto menunjukkan karya yang memaparkan 13 spesies kucing yang dihasilkan oleh Qingchuan dengan menggunakan pistol paku pneumatik dan paku. (sumber gambar: Qingchuan)

"Saya ingin menggunakan pistol paku pneumatik untuk “melukis” di samping memasukkan idea saya dalam karya itu dan mencapai kesan visual yang menakjubkan sehingga menggabungkan kuasa dengan kecantikan pelbagai spesies haiwan”, kata artis itu.

Qingchuan menjelaskan bahawa beliau mendapat inspirasi daripada seorang artis Rusia yang pernah mencipta karya lukisan tentang zirafah, gajah dan beruang dengan menggunakan pistol paku.

“Saya yakin bahawa gaya seni ini adalah bagus yang boleh digunakan untuk menghasilkan karya seni tentang haiwan-haiwan yang berhabitat di China”, kata Qingchuan, sambil menambah bahawa beliau telah mendapat galakan daripada gurunya Zeng Xiaolian, pelukis botani yang terkenal di China.

“Encik Zeng yang sudah berusia lebih 80 tahun memberitahu saya bahawa sebagai seorang artis, mencipta lukisan tidak seharusnya hanya boleh menggunakan berus cat dan kertas”, katanya.

Foto menunjukkan karya yang memaparkan harimau bintang salji yang dihasilkan oleh Qingchuan dengan menggunakan pistol paku pneumatik dan paku. (sumber gambar: Qingchuan)

Memandangkan tahun 2022 merupakan Tahun Harimau mengikut 12 Zodiak China, Qingchuan merancang menggunakan pistol paku untuk menghasilkan sebuah lukisan harimau. Apabila beliau mengumpulkan maklumat tentang harimau Siberia, beliau mndapati bahawa China merupakan habitat bagi 13 jenis spesies kucing.

“Mungkin ramai orang mengenali harimau Siberia, tetapi tidak pernah mendengar tentang spesies lain dalam keluarga kucing. Jadi, saya membuat keputusan untuk mencipta siri karya lukisan bertemakan keluarga kucing yang berhabitat di China supaya membolehkan lebih ramai orang mengetahui tentang haiwan liar ini, sekali gus sudi menyumbang sesuatu untuk mereka”, katanya.

Untuk memaparkan keunikan setiap 13 jenis spesies kucing dengan sepenuhnya, beliau telah menyelidik banyak bahan rujukan dan meminta nasihat daripada pakar berkenaan.

Menurut Qingchuan, karya seninya tersebut dihasilkan dalam pelbagai saiz yang berbeza. Kira-kira 20,000 hingga 50,000 paku telah digunakan untuk setiap keping lukisan tersebut. Beliau teliti mencorak bulu, belang dan titik pada tubuh badan haiwan melalui susun paku pada papan di samping menghaluskan paku-paku dengan tukul besi.

Foto menunjukkan karya yang memaparkan harimau bintang Utara China yang dihasilkan oleh Qingchuan dengan menggunakan pistol paku pneumatik dan paku. (sumber gambar: Qingchuan)

“Saya berharap dapat menonjolkan kecantikan spesies hidupan dan tumbuhan sehingga menginspirasikan lebih ramai orang berfikir bagaimana hidup harmoni dengan alam sekitar melalui karya saya yang dihasilkan dengan menggunakan pistol paku pneumatik,” kata artis itu.

Qingchuan mempelajari lukisan burung-dan-bunga tradisional China sejak kecil. Sehubungan itu, beliau telah mengembangkan tabiat memerhati haiwan dan tumbuhan yang memberi pengaruh besar kepada beliau dalam penciptaan karya seni.

Walau bagaimanapun, Qingchuan mengambil jurusan bahasa dan sastera China di kolej dan tidak pernah bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan lukisan selepas lulus dari kolej.

Pada 2014, beliau melukis semula dan memfokuskan tema melibatkan bunga, burung, serangga dan ikan. Kemudian beliau belajar sendiri untuk melukis dengan alat-alat lukisan yang tidak pernah digunakan sebelum ini, termasuk pensel yang berwarna. Pada 2017, beliau menjadi perantis Encik Zeng.

Pada beberapa tahun kebelakangan ini, karya seninya telah dipamerkan dalam Pameran Kesenian Botani Kongres Botani Antarabangsa ke-19 dan Pameran Lukisan Tangan Terbaik Kesenian Alam dan Sains.

Foto menunjukkan karya yang memaparkan kucing pasir yang dihasilkan oleh Qingchuan dengan menggunakan pistol paku pneumatik dan paku. (sumber gambar: Qingchuan)

Gaya Hidup