Hengzhou, Guangxi: Bunga Mekar Meliputi Seluruh Bandar

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 27 September 2022

April hingga Oktober setiap tahun merupakan musim kemekaran bunga melati di bandar Hengzhou, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi. Di situ, sejauh mata memandang, terbentang bunga melati yang berkembang mekar di ladang seluas berpuluh-puluh hektar. Bau wangi bunga melati menyelaputi seluruh ruang udara.

“Antara 10 kuntum bunga melati di dunia, 8 kuntum berasal dari China, manakala 6 daripada 8 kuntum itu pula berasal dari Hengzhou.” Sehubungan itu, Hengzhou telah mendapat gelaran “Kampung Bunga melati di China” dan “Kota Bunga Melati di Dunia”. Di bandar kecil ini, bunga melati telah pun menjadi industri utama dan "bunga menjana keuntungan" bagi penduduk tempatan. Menurut statistik berkenaan, jumlah penghasilan bunga melati dan teh bunga melati di Hengzhou masing-masing menyumbang lebih 80% di seluruh China dan lebih 60% di dunia.

Dimaklumkan bahawa, jumlah penghasilan bunga melati yang segar boleh mencapai 102 ribu tan, manakala teh bunga melati pula mencatat 80 ribu tan setiap tahun. Sementara itu, nilai jenama komprehensif bunga melati Hengzhou telah mencapai RMB 21.53 bilion (≈RM 13 bilion) pada 2021 yang terus dipilih sebagai jenama produk pertanian bernilai paling tinggi di wilayah Guangxi.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Hengzhou berusaha mempergiat pembangunan sistem perindustrian bunga melati sehingga berjaya menarik pelaburan sekumpulan syarikat yang terkenal di samping mempercepatkan pembentukan model kumpulan industri “1+9” yang merangkumi bunga melati+teh bunga, perkebunan, makanan, pelancongan, bekalan, katering, perubatan, sukan dan penjagaan kesihatan sehingga membina sebuah Pusat Industri Bunga Melati Sedunia yang dilengkapi dengan sistem perindustrian moden.

Gaya Hidup