China Beri Sumbangan kepada Kemajuan Kaji Cuaca Dunia

(CRI)Sabtu 08 Oktober 2022

China memberi sumbangan besar kepada usaha memelihara dan menaiktarafkan sistem pengurusan global Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), kata Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 pemulihan kerusi keanggotaan sah Republik Rakyat China di WMO.

Menurut Taalas, negara Tembok Besar itu turut melakar prestasi cemerlang dalam usaha menangani perubahan iklim global, mencegah bencana alam ekstrem dan memacu kerjasama meteorologi di peringkat antarabangsa.

“Dalam tempoh lima dekad lalu, China tetap berperanan sebagai anggota WMO. Hal ini bukan sahaja berfaedah bagi negara itu sendiri, malah membawa limpahan manfaat kepada negara-negara lain,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Penolong Setiausaha Agung WMO, Zhang Wenjian berkata selain berkongsi konsep dan pengalaman sendiri, China juga aktif membantu memajukan bidang kaji cuaca di negara-negara membangun menerusi tindakan praktikal.

“China melaksanakan projek kerjasama dengan tujuh buah negara Afrika, masing-masing bernilai USD2 juta (kira-kira RM9.3 juta).

“Di samping itu, China dan WMO telah memeterai dokumen kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI),” kata Zhang yang pernah menyandang naib pengarah Pentadbiran Meteorologi China (CMA).

Tambah beliau, China juga menjemput anggota WMO dalam kalangan negara kurang maju untuk melawat, menjalankan penyelidikan dan tinjauan di negara itu dalam tempoh lebih 30 tahun lalu.

Gaya Hidup