China akan Sumbang Lebih Banyak Tenaga Positif kepada Pertumbuhan Ekonomi Dunia

(CRI)Selasa 11 Oktober 2022

China akan menyumbang lebih banyak tenaga positif kepada pertumbuhan ekonomi dunia yang mampan, seimbang dan inklusif. Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning dalam sidang media semalam.

Menurut laporan daripada Biro Statistik Negara baru-baru ini, kadar sumbangan China kepada pertumbuhan ekonomi dunia dalam tempoh sedekad lalu purata menduduki tempat pertama di dunia. Berhadapan isu-isu yang tidak stabil dan tidak menentu yang semakin bertambah dalam situasi ekonomi sejagat seperti penularan wabak COVID-19, ekonomi China yang pertumbuhannya kekal stabil merupakan sumbangan yang positif kepada pemulihan ekonomi dunia.

Menurut Mao, dalam tempoh sedekad lalu, kadar pertumbuhan ekonomi China purata mencatat 6.6% yang jauh mendahului kadar pertumbuhan purata dunia iaitu 2.6% dan kadar pertumbuhan purata entiti ekonomi membangun iaitu 3.7%. Kadar sumbangan China kepada pertumbuhan ekonomi dunia purata merekod 38.6%, yang melebihi keseluruhan sumbangan negara Kumpulan Tujuh Negara (G7). Pada tahun 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China menempati 18.5% jumlah ekonomi dunia, meningkat 7.2 mata peratusan berbanding sedekad yang lalu. Nilai perdagangan luar China pada tahun lalu pula mencapai USD6.9 trilion (RM32 trilion), menjadikan negara ini tetap entiti ekonomi kedua terbesar dan negara perdagangan terbesar di dunia.

Mao mengatakan bahawa prospek ekonomi China dipercayai kondusif untuk suatu jangka masa yang panjang dan pelaksanaan dasar pintu terbukanya adalah konsisten. China sudi terus meningkatkan tahap keterbukaan berdasarkan prinsip inklusif, saling menguntungkan dan sama menang, dan berkongsi dividen pembangunannya dengan dunia demi menyumbang lebih banyak tenaga positif kepada pertumbuhan ekonomi dalam senario global.

Gaya Hidup