Pembelajaran Bahasa Mandarin Luaskan Pandangan Kanak-kanak

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 20 Oktober 2022

Memandangkan China sebagai sebuah negara penting di dunia, meneliti China dan bahasa Mandarin dijangka boleh meluaskan pandangan kanak-kanak di samping memberi manfaat kepada prospek kerjaya mereka.

Demikian dikatakan oleh guru dari Britain ketika diwawancara Agensi Berita Xinhua pada Jumaat (7 Oktober) ini.

"Banyak pembangunan melibatkan China. Justeru itu, sangat penting bagi generasi muda kita untuk memahami budaya China dan menggunakan bahasa Mandarin dalam pekerjaan mereka," kata Joan Deslandes, guru besar Sekolah Komuniti Kingsford di timur London.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Chinatown, London kepada pemenang pertandingan kepandaian berbahasa Mandarin, iaitu "Jambatan Bahasa Mandarin" untuk pelajar asing peringkat sekolah rendah dan menengah.

Hampir 500 orang pelajar Britain menyertai dua pertandingan yang diadakan secara dalam talian pada awal tahun ini.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan nyanyian, tarian tradisional dan bermain alat muzik China yang diberikan oleh kira-kira 140 orang pelajar dan guru dari 17 buah sekolah.

Joan Deslandes juga berkata, “Tetapi yang lebih penting ialah saya menyedari kecemerlangan sejarah dan kebudayaan China yang jarang diketahui ramai pemuda Britain. Pada pendapat saya, pengetahuan tentang China dan penguasaan bahasa Mandarin akan meluaskan pandangan pemuda negara ini di samping mendorong kemajuan diri mereka sebagai warga global.”

Sekolah Komuniti Kingsford merupakan sekolah yang pertama menyenaraikan bahasa Mandarin sebagai mata pelajaran wajib dalam kurikulum di Britain pada 2000.

“Mereka hanya sebilangan kecil yang memenangi pertandingan tersebut. Sebenarnya terdapat banyak sekolah yang telah menawarkan kursus bahasa Mandarin. Mereka bersemangat untuk mengembangkan bahasa itu sebagai satu lagi pilihan di negara ini,” kata Katharine Carruthers, pengarah Institut Konfusius Institut Pendidikan UCL.

Sekolah Kensington Wade yang terletak di London merupakan sekolah persiapan yang pertama di Britain yang menawarkan pendidikan dwibahasa Inggeris-Mandarin untuk kanak-kanak yang berumur 3 hingga 11 tahun. Guru besar sekolah tersebut, Suzanne Haigh berkata, “China memainkan peranan yang penting di dunia. Kanak-kanak kita perlu dilengkapi kemahiran, penguasaan bahasa dan pengetahuan kebudayaan yang diperlukan supaya mampu kekal mengikuti arus perkembangan zaman apabila mereka membesar nanti.”

Melibatkan prospek kebolehpasaran, Joan Deslandes menyatakan bahawa kemahiran menggunakan bahasa Mandarin untuk berkomunikasi dengan rakyat China akan memberi manfaat kepada golongan muda negara ini.

“Kita terpaksa menghadapi begitu banyak cabaran di dunia ini, maka generasi muda perlu mempelajari pelbagai bahasa dan kebudayaan antara satu sama lain supaya kerjasama penting antara pelbagai negara dan kejayaan setiap negara dapat dikekalkan pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Gaya Hidup