Yakin Mampu Kendali Isu Laut China Selatan dengan Baik: MFA

(CRI)Isnin 07 November 2022

Pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) telah memperkukuh kesalingpercayaan politik antara China dengan negara ASEAN, di samping menggalakkan dialog dan kerjasama mengenai isu maritim, kata jurucakap Kementerian Luar (MFA) Zhao Lijian.

Zhao berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 penandatanganan DoC, yang merupakan dokumen politik pertama dicapai China dan negara-negara ASEAN dalam isu Laut China Selatan.

"Dokumen itu menetapkan prinsip asas dan norma bersama untuk pihak-pihak berkepentingan mengendalikan isu berkenaan."

"Ia bukan sahaja berperanan penting dalam memelihara keamanan dan kestabilan Laut China Selatan, malah mewujudkan persekitaran baik untuk pembangunan hubungan China-ASEAN," ujarnya semasa taklimat harian pada Jumaat.

Menurut Zhao, pelaksanaan DoC dengan jayanya sepanjang 20 tahun lalu membuktikan bahawa China dan ASEAN mempunyai keupayaan, keyakinan dan kebijaksanaan untuk mengendalikan isu Laut China Selatan dengan baik. 

"China bersedia bersama negara ASEAN terus melaksanakan DoC secara menyeluruh dan berkesan, sambil memajukan rundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) yang berkaitan."

"Sinergi juga akan dibentuk untuk memperdalam dialog dan kerjasama maritim ke arah membina Laut China Selatan menjadi laut yang aman serta dilimpahi persahabatan dan kerjasama," kata beliau. 

Gaya Hidup