Negara Maju Digesa Tunai Janji USD100 Bilion

(CRI)Rabu 09 November 2022

Negara maju harus menunaikan janji mereka untuk menyediakan 100 bilion dolar Amerika dalam kewangan iklim secepat mungkin dan mencari jalan penyelesaian untuk menggandakan dana penyesuaian.

Demikian ujar Duta Khas China untuk Perubahan Iklim, Xie Zhenhua ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pelaksanaan Iklim sesi ke-27 Persidangan Para Pihak (COP27) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang diadakan di Sharm El-Sheikh, Mesir pada Selasa.

Xie, yang juga wakil khas Presiden China Xi Jinping berkata, tatkala menghadapi cabaran besar akibat cuaca ekstrim yang menyebabkan kerugian besar di seluruh dunia, di samping kemunculan krisis tenaga dan makanan tahun ini, multilateralisme dan kerjasama dilihat kekal sebagai satu-satunya jalan keluar daripada kesulitan itu.

Pada masa sama, Xie berkata bahawa prinsip memikul tanggungjawab bersama tapi berbeza dan mekanisme sumbangan yang ditentukan secara nasional masih antara pilihan yang tidak dapat dielakkan untuk mengatasi cabaran iklim.

“Ketika UNFCCC meraikan ulang tahunnya yang ke-30 tahun ini dan Perjanjian Paris telah memasuki peringkat pelaksanaan secara komprehensif, COP27 pula menggalas misi penting untuk menegakkan konsensus mengenai prinsip UNFCCC dan mempromosikan tindakan pragmatik oleh semua pihak,” ujar beliau.

Beliau menyatakan bahawa China secara aktif menangani perubahan iklim dengan tindakan yang berterusan dan pragmatik, dan keazaman China untuk mengikuti jalan pembangunan mesra alam akan diperkuatkan.

 "Keazaman dan kedudukan kukuh China untuk melaksanakan matlamat mencapai kemuncak karbon dan neutral karbon, dan mengambil bahagian secara aktif dalam tadbir urus iklim global tidak akan berubah,” ikrar Xie.

Beliau turut berharap agar COP27 akan terus menumpukan pelaksanaan janji, sambil menggesa negara maju untuk menerajui usaha yang lebih berkesan untuk mengurangkan pelepasan supaya mencapai sasaran neutral karbon dengan ketara lebih awal daripada jadual, serta mencapai keputusan substantif mengenai penyesuaian dan isu kewangan.

"Kami bersedia bekerjasama dengan semua pihak untuk mematuhi multilateralisme, membina sistem tadbir urus iklim global yang adil dan munasabah dengan kerjasama sama menang, dan memberi sumbangan yang lebih besar untuk menangani cabaran akibat perubahan iklim global," kata Xie.

Gaya Hidup