Konglomerat Cip Yakin Potensi Perkembangan Pasaran China

(CRI)Jumaat 11 November 2022

Di sebalik ekonomi global yang menguncup dan amalan perlindungan perdagangan yang kian berleluasa, banyak konglomerat cip tetap memilih menampil dalam Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi kelima, mencerminkan keyakinan mereka terhadap potensi perkembangan di China dan menunjukkan keazaman mereka untuk terus menembusi pasaran negara ini.

Demikian kata jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian sebagai respons terhadap laporan tentang penglibatan banyak konglomerat cip seperti Intel, AMD, Qualcomm dan ASML dalam CIIE edisi terkini yang baru berakhir. The Financial Times dan media lain pula mengulas bahawa keyakinan pengeluar cip utama dunia terhadap China tidak terkesan dengan pelaksanaan sekatan teknologi cip Amerika Syarikat.

“Ini membuktikan komitmen China terhadap pembangunan berkualiti tinggi dan peningkatan tahap keterbukaan selaras dengan perkembangan arus zaman ini,’ kata Zhao pada sidang akhbar pada Khamis.

Zhao menegaskan, terdapat suatu negara yang berulang kali menyalahgunakan kuasa negaranya untuk mempolitikkan isu teknologi dan perdagangan dan menggunakannya sebagai alat dan senjata untuk menyekat dan memberi tekanan kepada China bahkan berdegil melobi untuk mencanangkan plotnya 'mencantas kaitan'. Ini menjadikan bukan sahaja peraturan perdagangan antarabangsa, tetapi juga pasaran global beserta keselamatan dan kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan global terjejas.

“China komited terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk menolak tindakan paksaan dan pembulian dalam bidang ekonomi dan teknologi, berusaha memastikan kestabilan sistem, peraturan serta asas ekonomi dunia dan keselamatan rantaian perindustrian serta bekalan global terjamin.

“China juga sudi terus membuka pintu kepada dunia dengan mengambil peluang daripada berlangsungnya CIIE untuk memudahkan syarikat asing yang ingin melabur dan memacu urusniaganya di China supaya dapat bersama-sama membina masa depan yang lebih bersatupadu dan makmur,” kata Zhao.  

Gaya Hidup