Kembara China: Kepopularan Aktiviti Mendaki Ubah Kampung Etnik Tibet

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 18 November 2022

Banjaran gunung yang dilitupi salji, padang rumput, bendera doa dan pemandangan indah tatkala matahari terbit. Sedemikian panorama sebuah kampung yang terletak di kawasan pergunungan provinsi Yunnan, barat daya China, yang telah menarik kunjungan ramai peminat aktiviti mendaki dari seluruh dunia.

Terletak pada ketinggian 3,000 meter dari paras laut, kampung Yubeng di kaki Gunung Salji Meili seolah-olah “Shangri-La” syurga duniawi yang digambarkan oleh James Hilton, penulis Britain dalam buku fiksyen "Lost Horizon" pada 1934.

Penduduk kampung Yubeng menyara hidup dengan menanam barli dataran tinggi dan gandum serta menternak haiwan sejak sekian lama. Kini pula hampir semua keluarga kampung telah mula menguruskan inap desa, pasar raya dan restoran. Perkhidmatan sewa tongkat pendaki gunung dan silinder oksigen mudah alih boleh didapati di serata kampung itu.

Tetapi tidak mudah untuk sampai ke kampung itu. Perlu berjalan kaki selama lima hingga lapan jam untuk sampai ke kampung itu melalui jalan yang berliku-liku.

Walau bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, para pendaki masih mendapat keseronokan daripada itu. Kerajaan tempatan dan penduduk kampung pula menganggapnya sebagai peluang mengembangkan pelancongan.

Pada 2018, sebuah syarikat telah ditubuhkan untuk mengembangkan industri sukan mendaki di kampung Yubeng yang boleh menyediakan kemudahan dan keselamatan yang lebih baik kepada pelancong.

Kini, pelancong boleh menaiki kenderaan ‘off-road’ yang dikendalikan oleh syarikat tersebut untuk keluar dan masuk kampung itu. Perjalanan sehala telah dipendekkan kepada 40 minit.

Terdapat kira-kira 30 orang kakitangan bekerja di syarikat tersebut. Drige, penduduk etnik Tibet dari kampung Yubeng yang berusia 26 tahun bekerja sebagai penjual tiket penumpang kenderaan ‘off-road’.

“Gaji bulanan saya kira-kira 4,000 yuan RMB (USD 560 dolar). Saya tidak perlu meninggalkan kampung halaman untuk mencari kerja, sebaliknya boleh selalu menemani ahli keluarga saya di sini”, kata Drige.

Setiap tahun, ramai orang Tibet akan pergi ke tempat peranginan yang ikonik berhampiran kampung Yubeng, iaitu "Shenpu" atau "air terjun suci" untuk berdoa.

Perjalanan ke “Shenpu” mengambil masa lebih kurang 6 jam berjalan kaki, dengan jarak 12 kilometer. Laluan itu dianggap yang paling asas dengan jalan simen di sepanjang perjalanan.

“Sekarang, pelbagai aktiviti telah disediakan untuk pelancong selain daripada aktiviti mendaki. Setiap rumah kampung menternak keldai dan setiap ekor keldai dilabel dengan nombor. Keldai mereka akan ditunggang pelancong mengikut giliran berasaskan nombor”, kata Drige.

Bergantung pada jarak perjalanan, bayaran menunggang keldai adalah antara 300 hingga 500 yuan RMB. Semua pembayaran diberikan kepada penduduk kampung. Syarikat tersebut berperanan sebagai penghubung antara pelancong dengan penduduk kampung.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 190 orang penduduk dan 53 buah rumah penginapan di kampung Yubeng. Sama ada hotel mewah ataupun hostel belia, pelancong telah disediakan lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini.

Persekitaran Yubeng dipelihara dengan baik. Selain kempen membersihkan sampah yang dilakukan penduduk kampung pada setiap minggu, pembersihan dan pengitaran semula sampah sarap di lokasi tumpuan pelancong akan dilakukan oleh kakitangan pembersihan khas.

“Di Yubeng, saya boleh mendaki gunung di samping menambah pengetahuan tentang kebudayaan Tibet. Sini sememangnya merupakan destinasi ideal untuk mendaki gunung”, kata Chen Xin dari bandar Kunming, ibu kota provinsi Yunnan. 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan