“Ropeway” Diganti dengan Kereta untuk Rentasi Sungai Setelah Pembinaan Jambatan Diselesaikan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 18 November 2022

Menggunakan “ropeway” untuk merentasi Sungai Nu dengan membawa peti perubatan merupakan kerja rutin harian Deng Qiandui, seorang doktor perubatan di kampung Lamadi, kaunti Fugong, Daerah Autonomi Lisu Nujiang, provinsi Yunnan, barat daya China. Kini, laluan “ropeway” telah diganti dengan sebuah jambatan yang merentasi sungai tersebut. Sementara itu, jalan-jalan berturap pula siap dibina di setiap kampung seluruh kaunti. Sehubungan itu, Doktor Deng dapat dimudahkan dalam bekerja.

Deng Qiandui menyeberang sungai menggunakan ‘ropeway’ (Gambar/ Yunnan Daily)

Kampung Lamadi terletak di kawasan pergunungan dengan jumlah penduduknya sedikit. Terdapat 6 kumpulan penduduk kampung yang terletak di kedua-dua tebing Sungai Nu.

Pada lebih 30 tahun yang lalu semasa Deng baru menjadi doktor kampung, satu “ropeway” yang menghubungkan kedua-dua tebing sungai Nu merupakan satu-satunya laluan ulang alik bagi penduduk tempatan.

“Saya berasa gementar ketika mula belajar menggunakan ‘ropeway’. Merentasi sungai dengan ‘ropeway’ terutama pada waktu malam amat berbahaya”, Deng imbas kembali sambil menambah bahawa beliau akan menggunakan rumput untuk meningkatkan geseran di antara tapak tangan dan pemegang pada ‘ropeway’.

Deng Qiandui menawarkan perkhidmatan perubatan untuk seorang penduduk kampung. (Sumber gambar/Yunnan Daily)

Ramai orang cuba mencadangkan Deng untuk berhenti kerja, namun cadangan itu ditolak oleh beliau. Sejak beberapa dekad yang lalu, beliau tetap berulang-alik antara kedua-dua tebing Sungai Nu melalui “ropeway” tanpa mengira siang, malam, hujan dan angin sebaik menerima panggilan telefon yang meminta khidmat perubatan.

Menurut laporan kerja kerajaan yang diumumkan oleh badan perundangan dan penasihat politk tertinggi China dalam persidangan tahunan 2015, jambatan akan dibina untuk menggantikan semua laluan “ropeway” di kawasan barat China.

Pada tahun yang sama, sebuah jambatan dan sebatang jalan berturap telah siap dibina di kampung Lamdi. Pada September 2019, Deng pula membeli sebuah kereta untuk melakukan kerja dengan lebih mudah. “Kalau dulu, saya terpaksa mengambil masa kira-kira empat hingga lima jam untuk sampai ke kampung yang terletak paling jauh dari sini, namun kini hanya 30 minit sahaja dengan memandu kereta”, kata Deng.

Gambar kombo ini menunjukkan Deng Qiandui menyeberangi sungai melalui “ropeway” pada 20 Februari 2011 (kiri) dan merentasi sungai dengan memandu keretanya pada 14 September 2022 (kanan). (Sumber gambar/ Xinhua)

Kesemua 57 kampung miskin di kaunti Fugong telah berjaya menghapuskan kemiskinan pada November 2020. Untuk mengelakkan penduduk kampung tempatan kembali miskin akibat menderita penyakit, kaunti Fugong meningkatkan bantuan terhadap penduduk kampung yang menghidap penyakit teruk atau penyakit kronik melalui perkhidmatan doktor keluarga. Deng adalah salah seorang doktor antara mereka.

Deng berkata, terdapat empat orang doktor yang berkhidmat di kampung beliau buat masa kini. Sehubungan itu, penduduk kampung tidak perlu keluar kampung untuk menikmati perkhidmatan perubatan.

Gaya Hidup