Piala Dunia 2022 Buka Tirai di Qatar

(CRI)Isnin 21 November 2022

Pada Ahad, Stadium Al Bayt, Al Khor, Qatar menjadi saksi kepada pembukaan Piala Dunia 2022 dan ia merupakan kali pertama acara sukan itu diadakan di hemisfera utara pada musim sejuk.

Dengan bertemakan perpaduan seluruh manusia, ia membawa harapan agar sukan bola sepak membolehkan manusia untuk bersatu padu dalam mengharungi cabaran di bawah khemah yang sama, iaitu selaras dengan slogannya, “Now is All”.

Ketua Pengarah Kreatif acara edisi ini, Marco Balich yang pernah banyak kali mengambil bahagian dalam rekaan kreatif majlis pembukaan dan penutupan Sukan Olimpik sebelum ini berkata, pihaknya komited mewujudkan majlis pembukaan Piala Dunia yang sama gemilang dengan majlis pembukaan Sukan Olimpik.

Difahamkan, acara pembukaan menampilkan persembahan pertunjukan selama 30 minit dengan kehadiran bekas pemain bola sepak terkemuka Perancis, Marcel Desailly yang membawa trofi Piala Dunia ke pentas stadium. Ini adalah kali kedua bagi trofi itu datang ke Asia dan kali pertama ke kawasan Asia Barat.

Pelakon terkenal, Morgan Freeman turut tampil ke atas pentas dan bercakap dengan Duta Piala Dunia 2022, Ghanim Al-Muftah, seorang belia OKU Qatar mengenai kedatangan ramai pengembara dari serata dunia ke Qatar, dengan mempunyai impian besar terhadap bola sepak.

Acara pembukaan ini turut menampilkan bendera dan baju jersi 32 pasukan, menyiarkan lagu tema Piala Dunia yang diadakan pada tahun-tahun sebelum ini yang turut menggamit nostalgia para penonton.

Acara ini juga diserikan dengan kehadiran maskot Piala Dunia Qatar, La'eeb dan menyiarkan lagu Dreamers, lagu tema Piala Dunia edisi ini dan turut memeriahkan suasana acara tersebut.

Seiring dengan bunga Api dilancarkan, imej logo Piala Dunia Qatar yang mirip angka 8 diketengahkan di atas pentas yang melambangkan lapan stadium pada acara kali ini.

Sejurus selepas itu, pertandingan antara skuad tuan rumah Qatar dengan skuad Ekuador diadakan yang menyaksikan Qatar menelan kekalahan atas Ekuador dengan skor 0-2.

Gaya Hidup