Pengukir 72 Tahun Buat Model Jambatan Luding Guna Teknik Tradisional

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 21 November 2022

Dengan menggunakan teknik pertukangan purba, seorang pengukir kayu di bandar Yuxi, Provinsi Yunnan di barat daya China telah menghasilkan sebuah model kayu jambatan rantai besi Luding. Jambatan tersebut merupakan lokasi pertempuran penting yang mengubah perjalanan sejarah negara ini.

Foto menunjukkan Pu Mingcai dan model kayu Jambatan Ludingnya. (Foto/Guo Yuchen)

Pu Mingcai, 72, pengamal teknik tanggam Cina purba. Ini bermakna tiada paku digunakan dalam keseluruhan proses membuat model kayu yang 8.2 meter panjang, 2.2 meter lebar dan 2.2-meter tinggi itu. Karya seni tersebut termasuklah dua astaka kayu yang dibina pada skala 1:10 di kedua-dua hujung jambatan. Lebih mengagumkan, "rantai besi" jambatan juga merupakan ukiran kayu.

Pu menghabiskan lebih tiga tahun menghasilkan model berkenaan, menggunakan kira-kira tiga meter padu kayu.

Pu belajar bertukang semasa berkhidmat dalam tentera. Selepas beliau meninggalkan perkhidmatan tentera pada tahun 1976, beliau membuka kedai perabot dan kemudiannya melibatkan diri dalam perniagaan ukiran kayu. Sebagai seorang veteran, beliau sentiasa menghormati generasi tua revolusioner China yang berjuang dengan berani demi negara dan rakyat.

Foto menunjukkan sebahagian daripada model kayu Jambatan Luding. (Foto/Pu Mingcai)

"Pertempuran Jambatan Luding adalah pertempuran penting yang berkaitan kelangsungan Tentera Merah semasa Perarakan Panjang yang terkenal. Asas yang kukuh untuk kebangkitan Parti Komunis China dan penubuhan negara China baharu, telah dibina dengan kemenangan Tentera Merah dalam pertempuran itu," kata Pu.

Idea untuk membuat model kayu Jambatan Luding tercetus apabila beliau berhasrat untuk menginspirasi generasi muda meneruskan semangat para revolusioner veteran dan semangat Perarakan Panjang di era baharu ini.

Foto menunjukkan sebahagian daripada model kayu Jambatan Luding. (Foto/Pu Mingcai)

Pada April 2018, Pu dan perantisnya melawat Jambatan Luding di Sungai Dadu, Provinsi Sichuan di barat daya China. Situlah tempat mereka mengambil gambar jambatan itu.

Selepas pulang dari Sichuan, Pu mencetak foto jambatan itu dan meneliti strukturnya secara terperinci. Beliau mula membuat model kayu jambatan itu pada Januari 2019 dan menyiapkannya pada Ogos 2022.

Foto menunjukkan sebahagian daripada model kayu Jambatan Luding. (Foto/Pu Mingcai)

Foto menunjukkan sebahagian daripada model kayu Jambatan Luding. (Foto/Pu Mingcai)

Foto menunjukkan sebahagian daripada model kayu Jambatan Luding. (Foto/Pu Mingcai)

Foto menunjukkan model kayu Jambatan Luding. (Foto/Pu Mingcai)

 

Gaya Hidup