Rakyat Teruja, Ekonomi Maju Berkat Laluan Kereta Api China-Laos

(CRI)Isnin 05 Disember 2022
Rakyat Teruja, Ekonomi Maju Berkat Laluan Kereta Api China-Laos

Landasan Kereta Api China-Laos yang dibina selama lima tahun telah beroperasi secara rasmi pada 3 Disember 2021. Dalam tempoh setahun yang lalu, seramai 8 juta penumpang dan lebih 10 juta tan kargo telah diangkut menerusi landasan terbabit, bukan sahaja mendinamikkan pembangunan ekonomi bahkan menyejahterakan rakyat kedua-dua negara.

Landasan yang sepanjang 1,035 kilometer itu merupakan yang pertama dibina berdasarkan piawaian China dan dikendalikan berdasarkan kerjasama kedua-dua pihak. Melalui sambungan langsung dengan jaringan landasan domestik China, perjalanan antara Kunming-Vientiane hanya memerlukan 10 jam sahaja.

Menurut statistik pengangkutan yang dimaklumkan pada November lalu, jumlah penumpangnya mencatat 23,000 orang sehari secara purata, sedangkan keseluruhan kargo merentasi sempadan mencecah lebih 1.8 juta tan, dengan nilainya mencapai RMB12 bilion (RM7.5 bilion) . Kini, 25 buah provinsi dan bandar China sudah melibatkan diri dalam perkhidmatan ekspres kargo antarabangsa tersebut, yang menjangkau Laos, Thailand, Myanmar, Malaysia, Kemboja dan Singapura.

Dalam pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Laos, Thongloun Sisoulith di Dewan Rakyat Beijing pada Rabu, laluan kereta api itu turut menjadi salah satu potik mereka.

Xi mengarahkan bahawa landasan yang berunsurkan pembangunan, kebahagiaan dan persahabatan itu, patut dijadikan penggerak dalam menyejahterakan rakyat, malah teladan bagi pembangunan bersama dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan. Thongloun pula menekankan, laluan itu memainkan peranan besar dalam memajukan pembangunan ekonomi tempatan. Beliau menyarankan agar meningkatkan penyelarasan antara pelaksanaan strategi negaranya dengan pelaksanaan BRI demi penaiktarafan hubungan bilateral.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan