Pusat Ski Olimpik Dibuka kepada Umum Sempena Musim Sejuk

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 08 Disember 2022
Pusat Ski Olimpik Dibuka kepada Umum Sempena Musim Sejuk
Orang bermain ski di Pusat Peranginan Ski Fulong, Zhangjiakou, provinsi Hebei pada 5 Februari 2019. (Gambar/Xinhua)

Kebanyakan pusat ski di bandar Zhangjiakou, provinsi Hebei, yang menjadi tuan rumah bagi acara ski Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 telah dibuka kepada umum sejak bulan lalu, menyaksikan satu ledakan dalam sukan musim sejuk pada musim salji pertama selepas temasya tersebut.

Enam pusat ski di daerah Chongli termasuk Taman Salji Genting yang juga arena utama Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Sukan Paralimpik Musim Sejuk Beijing 2022, kini terbuka kepada umum.

Menjelang musim salji, pusat-pusat yang membuka pintunya kepada orang ramai telah mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19, misalnya memperkenalkan mesin tiket layan diri.

Para pelawat juga dikehendaki menjalani ujian RT-PCR sebaik sahaja tiba di daerah Chongli, demikian maklum kerajaan tempatan.

Liu Yu, peminat ski dari bandar jiran Tianjin, bermain ski di Taman Salji Genting minggu lalu.

“Saya mahu merasai sendiri pengalaman bermain ski di cerun yang pernah menyaksikan Sukan Olimpik Musim Sejuk,” kata Liu, pekerja pejabat berusia 33 tahun yang kerap berkunjung ke pusat ski tersebut tahun-tahun kebelakangan ini.

Kata Liu, ramai rakannya yang tidak reti bermain ski mula meminati sukan itu selepas menonton pertandingan ski yang mengujakan semasa Sukan Olimpik. Tambahnya, dia selalu ditanya tentang kepakarannya dan tempat bermain ski.

Menurut laporan Great Wall New Media, agensi berpangkalan di bandar Shijiazhuang, provinsi Hebei, yang memetik kata Zou Zhongqiao, pengurus Fulong Four Seasons Town iaitu satu lagi pusat peranginan ski di daerah Chongli, sukan musim sejuk yang dahulunya hanya menarik segelintir orang untuk mencuba, kini sudah berkembang menjadi sukan yang popular.

Kata Zou, kanak-kanak semuda tiga atau empat tahun hinggakan warga emas berusia 70 atau 80 semuanya aktif melibatkan diri dalam sukan ais dan salji sejak dua tahun lepas.

Tambahnya, lebih 3,000 pemain ski melawat pusat peranginan itu pada hari pertama pembukaannya.

Wanlong Paradise Resort, satu lagi pusat peranginan ski, dilaporkan menerima kedatangan seramai 800 hingga 1,000 pelawat setiap hari baru-baru ini. 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan