China Umum Peraturan Baharu Mudahkan Pergerakan Rentas Sempadan

(CRI)Selasa 27 Disember 2022

China mengumumkan peraturan baharu mengenai pelonggaran protokol kuarantin terhadap pengembara yang masuk ke negara ini, dalam usaha untuk mempermudah pergerakan rentas sempadan.

Pendekatan berkenaan akan berkuat kuasa mulai 8 Januari 2023, menurut mekanisme pencegahan dan kawalan bersama COVID-19 Dewan Negara.

Di bawah peraturan baharu, para pengembara yang datang ke China perlu menjalani ujian asid nukleik (NAT) 48 jam sebelum berlepas.

Individu yang diuji negatif boleh melakukan perjalanan selepas mengisikan keputusan dalam borang pengisytiharan kesihatan kastam, tanpa perlu memohon kod kesihatan daripada kedutaan dan konsulat China.

Sekiranya didapati positif, perjalanan berkenaan akan dibenarkan selepas keputusan ujian bertukar negatif.

Sementara itu, ujian saringan tidak lagi dijalankan terhadap semua pengembara yang memasuki China.

Individu yang mengisytiharkan status kesihatan normal serta tiada keabnormalan semasa kuarantin rutin di kastam akan dibenarkan memasuki negara ini.

Mereka yang mempunyai pengisytiharan kesihatan tidak normal atau mengalami simptom demam dan gejala lain diwajibkan menjalani ujian antigen.

Bagi individu positif COVID-19 namun tanpa gejala atau bergejala ringan serta tiada penyakit asas yang serius, mereka boleh melakukan kuarantin dan penjagaan kendiri di rumah.

Manakala, mereka yang mengalami gejala serius disyorkan ke institusi perubatan untuk menerima diagnosis dan rawatan secepat mungkin.

Individu yang dikesan negatif pula diwajibkan menerima kuarantin rutin oleh pihak kastam mengikut Undang-undang Kesihatan dan Kuarantin Sempadan serta undang-undang dan peraturan lain. 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan