Metaverse Membentuk Semula Platform E-dagang

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 06 Januari 2023

Metaverse sedang membentuk semula operasi dan strategi platform e-dagang China sebagai pasaran futuristik yang boleh memenuhi keperluan sebenar dan keperluan maya pengguna dengan lebih baik, kata pakar industri. Tambah mereka, teknologi yang menggabungkan realiti maya (VR) dan realiti tambahan (AR) ini penting untuk mewujudkan kehadiran secara maya dalam metaverse, serta berpotensi mengubah cara membeli-belah dengan mencipta simulasi jual beli dan menyediakan pengalaman pengguna yang interaktif.

Peruncit dalam talian China JD telah melancarkan platform digital yang membolehkan pembeli memasuki alam maya untuk melihat barangan seperti perabot dan barangan rumah.

JD telah bekerjasama dengan lebih 1,000 jenama dan mencipta model 3D untuk lebih 100,000 produk. Produknya merangkumi bahan binaan, perabot, barang hiasan lembut, peralatan dapur dan barangan rumah yang lain.

Platform e-dagang Tmall Alibaba pula telah melancarkan kira-kira 10,000 buah "rumah model" maya 3D dengan kerjasama peruncit perabot luar talian. Model-model ini membolehkan pelanggan dalam talian meletakkan perabot maya di rumah mereka untuk melihat kesesuaiannya tanpa perlu pergi ke kedai. Pereka bentuk juga boleh menyesuaikan perabot dan hiasan mengikut permintaan pelanggan.

Seorang pengunjung bermain permainan VR di kawasan pameran HTC Corp semasa Konvensyen 5G Dunia 2022 di Harbin, provinsi Heilongjiang, pada bulan Ogos. (Foto: Zhang Shu/ China Daily)

Metaverse menjanjikan masa depan di mana dunia maya dan fizikal saling berkait rapat, dan China telah melancarkan dasar yang menggalakkan untuk menyambut baik peluang yang ditawarkannya. Pada bulan November, Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China serta beberapa kementerian lain bersama-sama mengumumkan rancangan untuk mengintegrasikan teknologi VR ke dalam aplikasi industri.

Berdasarkan rancangan tersebut, saiz pasaran industri VR China akan melebihi 350 bilion yuan (224 bilion ringgit) menjelang 2026 selain menyasarkan 100 perusahaan terlatih dengan kapasiti inovatif dan pengaruh industri yang kukuh.

Pihak berkuasa di Beijing, Shanghai serta provinsi Jiangsu dan Zhejiang telah melancarkan garis panduan dan pelan tindakan untuk sektor metaverse dengan harapan mendapat kelebihan sebagai perintis dalam perlumbaan global, sekali gus mendapat manfaat daripada teknologi generasi akan datang.

"Nilai teras metaverse terletak pada penggunaan industrinya. E-dagang telah berfungsi sebagai senario penggunaan utama untuk metaverse. Banyak model perniagaan baharu juga telah muncul," kata Yu Jianing, pengarah eksekutif jawatankuasa industri metaverse di Persatuan Komunikasi Mudah Alih China, sebuah persatuan industri yang berpangkalan di Beijing.

Yu berkata penerapan teknologi VR dan AR ke pasaran dalam talian bukan sahaja telah meningkatkan pengalaman pengguna ketika membeli-belah atas talian dan penggunaannya semasa wabak, malah juga telah menerajui trend penggunaan baharu.

Merujuk kepada hiasan rumah sebagai contoh, Yu meberitahu bahawa dengan bantuan teknologi berkaitan metaverse, pengguna boleh bereksperimen dengan meletakkan perabot di tempat yang berbeza, menawarkan pengalaman yang mengasyikkan dan interaktif, serta menjadikan proses membeli-belah lebih mudah.

Metaverse akan memainkan peranan aktif dalam memperkasakan ekonomi sebenar, dan menggalakkan integrasi mendalam dunia digital dengan dunia nyata, tambah Yu.

Hong Yong, felo penyelidik bersekutu di jabatan penyelidikan e-dagang Kementerian Perdagangan berkata, teknologi berkaitan metaverse akan menjadi daya penggerak penting untuk pembangunan e-dagang berkualiti tinggi. Mereka juga akan membantu untuk meningkatkan lagi potensi penggunaan dan meningkatkan kedudukan industri. Walaupun masih di peringkat awal, metaverse telah pun membawa peluang baharu untuk pasaran pengguna China, dan mempunyai potensi besar untuk memacu pembangunan perkhidmatan pelanggan, logistik, kewangan dan industri lain, kata Hong.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan