HKDL: Bersedia untuk Mengalu-alukan Pelancong

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 04 Januari 2023

Menurut Hong Kong Ta Kung Wen Wei Media Group, Hong Kong telah menarik balik kebanyakan langkah kawalan COVID-19 kecuali memakai pelitup muka dan akan membuka sempadan dengan Tanah Besar China. Pengarah Urusan (MD) Hong Kong Disneyland Resort (HKDL), Michael Moriarty memberitahu bahawa sejak proses kemasukan dan kuarantin “0+3” dilancarkan, mereka telah mengalu-alukan ramai pelancong dari luar negeri. Beliau yakin HKDL akan mengekalkan kedudukan kuncinya bersamaan pemulihan industri pelancongan Hong Kong.

Hong Kong Disneyland Resort. (foto: Li Zhihua/China News Service)

Moriarty mengatakan bahawa, sepanjang 3 tahun yang dilanda wabak COVID-19, HKDL tidak henti menjalankan pelbagai projek yang menjanjikan pengalaman lebih memuaskan buat pelancong, termasuk membina istana baharu, mengadakan persembahan siang dan malam, persembahan khas untuk Halloween dan sebagainya. HKDL merancang membina lebih banyak kemudahan serta menganjurkan lebih banyak persembahan pada masa hadapan. Projek baharu dijangka dikemukakan pada separuh kedua tahun ini. Persembahan baharu dengan kerjasama kumpulan tarian tempatan juga akan diatur pada April tahun ini.

Selain daripada itu, HKDL juga merancang mengadakan hari terbuka rekrutmen pertama pada awal bulan Februari tahun ini. HKDL akan mengambil 600 pekerja sama ada sepenuh masa atau secara sambilan, untuk memenuhi keperluan operasi pada masa hadapan. Antaranya, katering akan diutamakan.

Moriarty turut menambah bahawa sekarang tiada rancangan untuk menaikkan harga tiket HKDL. Beliau berharap pelancong dapat menikmati pengalaman yang memuaskan selepas langkah kawalan dan pencegahan wabak COVID-19 diperlonggar pada masa hadapan. 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan