Robot Beri Pengunjung Rasa Masa Depan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 10 Januari 2023
Robot Beri Pengunjung Rasa Masa Depan
"Cef" robot menyediakan makanan di restoran "pintar" di daerah Xihu, Hangzhou, provinsi Zhejiang, pada bulan Jun. Restoran ini menarik pelanggan dengan hidangan yang dibuat oleh robot. [Foto oleh Long Wei untuk China Daily]

Memandangkan sekatan COVID-19 dimansuhkan di seluruh negara, Li Xianghui tahu restoran tradisional akan mengalami kesukaran untuk mengendalikan bilangan pengunjung yang semakin banyak. Namun keadaan agak berbeza untuk restoran miliknya.

Memiliki empat kedai makan di Wuhan, provinsi Hubei, Li "menggaji" pelbagai mesin memasak yang boleh beroperasi tanpa jemu siang dan malam. Dibungkus dalam kit, semua hidangan separuh siap boleh terus dihidangkan dalam beberapa minit selepas dimasukkan ke dalam mesin.

"Automasi adalah masa depan untuk industri katering. Tekanan daripada kos buruh untuk pengoperasian restoran tradisional dapat dielakkan dan kecekapan dapat dipertingkat," kata Li.

"Terdapat proses piawai bagi setiap mesin untuk menjamin konsistensi dalam rasa setiap pesanan," tambah lelaki berusia 36 tahun itu.

Menurut Li, mesin memasak boleh membuat kira-kira 2,000 resipi. Setelah mengambil tempat, pengunjung perlu mengimbas kod QR dan menggunakan aplikasi untuk membuat pilihan dan pembayaran makanan mereka. Hanya dengan seorang pelayan yang bertugas meletakkan kit makanan separuh siap ke dalam mesin, hidangan akan dihidangkan dalam beberapa minit.

Tambahan pula, "cef" robot itu telah menarik lebih ramai pengunjung sejak restoran itu dibuka pada Oktober.

"Rasanya sedap dan harganya tidak mahal," kata pelanggan tetap yang bernama Xu.

Dengan kemunculan kedai makan sebegitu di seluruh negara, "cef" robot bukan sahaja mengambil alih pengendalian restoran, malah juga boleh pergi rumah ke rumah.

Di sebalik keadaan sebegini semestinya kerana industri robotik perkhidmatan negara yang semakin berkembang. Menurut portal pangkalan data Statista, pada 2021, nilai pasaran insustri ini adalah lebih daripada 58 bilion yuan (37 bilion ringgit). Industri ini dijangka mencapai nilai 291 bilion yuan (188 bilion ringgit) menjelang 2027.

"Robot perkhidmatan sentiasa meningkatkan tahap khidmat sosial dalam katering, peruncitan, pengedaran logistik, pemulihan perubatan dan bidang-bidang lain," kata Wang Hong, seorang pegawai di Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat.

Restoran "pintar" untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 mungkin bayangan masa depan industri perkhidmatan makanan. Tanpa tukang masak dan pelayan manusia, robotlah yang mengambil alih segala bentuk tugas.

Pada 2018, jenama hotpot terkenal Haidilao membuka restoran "pintar" pertamanya. Dapurnya dilengkapi dengan dua baris lengan robot yang boleh mengumpul hidangan yang telah dibungkus dari simpanan sejuk secara automatik.

Bagi Li, tidak lama lagi mesin seperti itu menjadi sesuatu yang biasa di dapur.

Menurut laporan tahunan mengenai industri restoran negara yang dikeluarkan oleh Persatuan Hospitaliti China, kekurangan tenaga buruh merupakan cabaran yang dihadapi oleh kebanyakan pengusaha perniagaan.

Untuk merebut peluang perniagaan, pelbagai pengeluar robot domestik termasuk Siasun, Uditech dan Keenon semakin aktif terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan bidang robotik perkhidmatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Di seluruh dunia, "cef" robot sedang bersedia untuk mengambil alih tugas memasak di restoran dan kemajuan teknologi membawa mereka selangkah lebih jauh.

Dengan kerjasama pengeluar peralatan domestik Beko, penyelidik dari University of Cambridge telah melatih "cef" robot mereka untuk menilai kemasinan hidangan pada peringkat berbeza sewaktu proses mengunyah dengan meniru proses yang sama pada manusia. Data diperolehi daripada penyelidikan mereka diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Robotics and AI. Hasil kajian mereka boleh digunakan dalam pembangunan penyediaan makanan automatik atau separa automatik dengan membantu robot mempelajari apa yang sedap dan apa yang tidak sekali gus membantu mereka "memasak" dengan lebih baik.

"Kebanyakan tukang masak di rumah akan biasa dengan konsep merasa sambil memasak, iaitu merasa hidangan sepanjang proses memasak untuk memeriksa sama ada keseimbangan rasa adalah tepat," kata Grzegorz Sochacki dari Jabatan Kejuruteraan Cambridge, pengarang pertama kertas itu menerusi Frontiers dalam Robotik dan AI. "Jika robot digunakan untuk penyediaan makanan tertentu, adalah penting untuk mereka dapat 'merasa' apa yang mereka masak."

Gaya Hidup

Berita Berkaitan