China Miliki 3,313 Syarikat Pembuat dalam Saham Kategori A

(CRI)Selasa 27 Disember 2022

Jumlah syarikat pembuat China yang tersenarai dalam saham-A mencapai 3,313, iaitu menyumbang 65.5 peratus daripada keseluruhan syarikat di pasaran saham kategori itu, lapor Persatuan China untuk Syarikat Awam (CAPCO).

Laporan itu berbunyi, syarikat pembuat berkelas tinggi yang tersenarai merekodkan peningkatan ketara apabila jumlahnya sebanyak 2,121 setakat 10 Disember 2022, jika dibandingkan dengan 1,250 yang dicatat pada akhir 2017.

Sejak 2017, nilai pasaran syarikat tersenarai dalam sektor pembuatan berkelas tinggi menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Dicatatkan, jumlah syarikat berkenaan dengan nilai pasaran melebihi 10 bilion yuan (RM6.3 bilion) meningkat kepada 664 berbanding angka 338 yang direkodkan pada hujung 2017.

Antaranya, pemain membabitkan bidang semikonduktor serta peralatan kuasa dan tenaga alternatif berkembang paling pesat dengan kadar pertumbuhan masing-masing sebanyak 357 peratus dan 135.8 peratus.

Laporan berkenaan juga menunjukkan bahawa syarikat tersenarai yang mempunyai nilai pasaran melebihi 100 bilion yuan (RM63.5 bilion) meningkat kepada 34 buah membabitkan elektronik, pembuatan mekanikal, perubatan dan lain-lain.

Sejak 2017, sejumlah 871 syarikat pembuat berkelas tinggi mendapatkan modal tambahan sehingga 285 bilion yuan (RM181.1 bilion) menerusi proses saham terbitan awam atau IPO.

Pelbagai insentif yang disediakan kerajaan memudahkan syarikat berkenaan mengumpulkan modal secara cepat, antaranya termasuk melancarkan Papan Inovasi Sains dan Teknologi atau STAR Market, melaksanakan sistem pendaftaran untuk memudahkan prosedur penyenaraian, serta mengurangkan kos pembiayaan.

Ia secara tidak langsung mengoptimumkan fungsi pasaran modal untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada ekonomi sebenar. 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan