Perdagangan Perkhidmatan China Meningkat 12.9 Peratus pada 2022

(CRI)Selasa 31 Januari 2023
Perdagangan Perkhidmatan China Meningkat 12.9 Peratus pada 2022

Data Kementerian Perdagangan China memaklumkan nilai perdagangan perkhidmatan China meningkat 12.9 peratus kepada RMB5.98 trilion (RM3.76 trilion) pada 2022.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, kementerian itu berkata jumlah perkhidmatan eksport meningkat 12.1 peratus berbanding tempoh sama tahun 2021, manakala perkhidmatan import pula meningkat 13.5 peratus.

Menurut Pengarah Institut Penyelidikan Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa bagi Institut Kementerian Perdagangan, Li Jun, ia sekali gus memperlihatkan daya tahan China yang kuat dalam perdagangan perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, perdagangan dalam perkhidmatan berintensifkan pengetahuan di China meningkat 7.8 peratus kepada RMB2.5 trilion (RM1.57 trilion) pada 2022.

Antaranya, peningkatan pesat eksport perkhidmatan berintensifkan pengetahuan diterajui sektor royalti harta intelek serta perkhidmatan komputer dan maklumat yang masing-masing meningkat 17.5 peratus dan 13 %.

Manakala, import perkhidmatan berintensifkan pengetahuan pula meningkat 2.6% kepada RMB1.09 trilion (RM685 bilion).

"Data tersebut memperlihatkan struktur perdagangan perkhidmatan semakin dioptimumkan di China,"kata Li.

Menurut data berkenaan, perdagangan perkhidmatan pelancongan di China pula mengekalkan trend pemulihan yang menyaksikan peningkatan 8.4 peratus kepada RMB856 bilion (RM538 bilion).

Li berpendapat, perdagangan perkhidmatan yang meliputi pelancongan dan pelanjutan pengajian di luar negara akan terus meningkat susulan pengubahsuaian dasar pembendungan COVID-19 di China pada tahun 2023.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan