Beijing Anjur Persidangan Pendidikan Digital Dunia

(CRI)Isnin 13 Februari 2023

Persidangan Pendidikan Digital Dunia membuka tirainya di Beijing hari ini, yang menghimpunkan duta asing dan wakil pertubuhan antarabangsa dari hampir 50 negara serta canselor institusi pengajian tinggi (IPT) berprestij.

Bertemakan ‘Digital Transformation and Future of Education’, acara yang diadakan secara hibrid itu berlangsung selama dua hari dan menarik wakil dari lebih 130 negara serta wilayah berdaftar untuk menyertainya.

Difahamkan, acara berkenaan akan memfokuskan kepada topik-topik seperti transformasi pendidikan digital, pembangunan dan pengaplikasian sumber pembelajaran digital, peningkatan literasi digital guru dan pelajar serta tadbir urus digital pendidikan.

Selain itu, inisiatif penubuhan perikatan pendidikan digital dunia dan inisiatif kerjasama pembangunan pendidikan digital dunia akan dilancarkan pada persidangan tersebut.

Untuk rekod, platform ‘Smart Education of China’ yang dikendalikan Kementerian Pendidikan dapat diakses pengguna dari lebih 200 negara dan wilayah.

Setakat 10 Februari, platform pendidikan pintar itu dilayari sebanyak 6.7 bilion kali membabitkan satu bilion pelawat.

Sejak dilancar pada 28 Mac 2022, platform itu menghimpunkan sumber peringkat sekolah rendah dan menengah, pendidikan vokasional dan pendidikan IPT.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan