Neutraliti Karbon Tawar Peluang Kerjasama Pelbagai Hala

(CRI)Jumaat 24 Februari 2023

Laporan Penyelidikan Kerangka Dasar Neutraliti Karbon China disiarkan pada Khamis, dengan objektif untuk membina paradigma baharu pembangunan hijau.

Menurut laporan tersebut, usaha mewujudkan neutral karbon kondusif bagi menjana pertumbuhan dalam banyak sektor, khususnya penyediaan peluang pekerjaan, penambahbaikan kecekapan dan transformasi ekonomi.

Dalam pada itu, China dianggap mempunyai kelebihan istimewa dalam pembangunan hijau.

Menerusi laporan itu, cadangan mengenai dasar berkenaan turut diajukan antaranya termasuk meningkatkan penggunaan arang batu secara bersih, mengurangkan nisbah penggunaan arang batu secara beransur-ansur, serta merangka peta jalan dan jadual waktu berhubung larangan menjual kenderaan bahan api.

China juga disyorkan beralih kepada gergasi pelabur asing yang mengejar pembangunan hijau daripada pengeksport barang pembuatan, dengan memanfaatkan internet perindustrian dan teknologi digital.

Memetik laporan itu, neutraliti karbon bukan sahaja relevan bagi negara maju, tetapi juga boleh menjadi pendekatan baharu untuk negara membangun mencapai modenisasi.

Laporan berkenaan dihasilkan kumpulan pakar tempatan dan asing yang diketuai Naib Pengerusi Pusat Pertukaran Ekonomi Antarabangsa China (CCIEE), Zhu Min dan Pengerusi Institut Penyelidikan Grantham Sekolah Ekonomi dan Sains Politik London (LSE), Nicholas Stern.

Pada pandangan Nicholas Stern, laporan itu bukan sahaja membolehkan negara lain lebih memahami kedudukan dan peranan China dalam tadbir urus iklim global, malah membantu meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap China.

Zhu Min pula berpendapat, kerjasama antarabangsa dalam membentuk mekanisme penetapan harga karbon perlu digerakkan. Hal ini akan menggalakkan semua negara bersinergi untuk mewujudkan sistem perdagangan pelepasan karbon.    

Gaya Hidup

Berita Berkaitan