China, Thailand Perluas Kerjasama Dagang

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 28 Februari 2023

Thailand sedang mengambil langkah memperhebat kerjasama konkrit dengan China dengan menariktarafkan perlaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara China dan ASEAN, terutamanya memperluas FTA mini dengan provinsi dan bandar China. Demikian menurut Jurin Laksanawisit, timbalan perdana menteri Thailand merangkap menteri perdagangan, di Dewan Perdagangan Cina-Thai (TCCC) pada 22 Februari.

"Kedua-dua negara mengadakan kerjasama praktikal di bawah mekanisme termasuk Perkongsian Ekonomi Komprensif Serantau (RCEP) dan FTA mini antara Thailand dan provinsi China seperti Hainan dan Gansu," beliau memberitahu pada satu sidang media.

Pihak Thailand telah mencadangkan untuk mengembangkan FTA mini Thailand-Hainan dengan kejayaan dilihat daripada rundingan mengenai penjualan barangan dan latihan bersama bagi pengusaha kedua-dua belah, kata beliau.

Ini membawa kepada nilai perdagangan dua hala meningkat 91.9% hingga mencecah 18.2 bilion baht (kira-kira 2.32 bilion ringgit) pada 2022.

"Kami akan memperbanyak usaha niaga dengan lebih banyak tempat di China, termasuk bandar Shenzhen dan provinsi Yunnan, melalui FTA mini seumpama pada masa hadapan."

Pekerja sedang membungkus bunga-bunga dari provinsi Yunnan di pasar bunga Pak Pkhlong Talat di Bangkok, Thailand, pada 21 Februari. (foto: Wang Teng/Xinhua)

Sidang media itu juga mengumumkan Konvensyen Usahawan Cina Sedunia (WCEC) akan membuka tirai di Bangkok pada 24 Jun.

"TCCC telah lama memberi sumbangan signifikan untuk menggalakkan kerjasama ekonomi dan pertukaran rakyat dengan rakyat antara Thailand dan China. Saya yakin WCEC tahun ini akan membuahkan hasil," kata Jurin.

Menurut beliau, China menjadi rakan perdagangan terbesar Thailand pada 2022, dengan nilai perdagangan dua hala mencatat 3.69 trilion baht (kira-kira 480 bilion ringgit), menyumbang 18% daripada nilai perdagangan asing Thailand.

Narongsak Putthapornmongkol, presiden TCCC, berkata perhimpunan itu dijangka membantu mempercepat pemulihan ekonomi Thailand daripada wabak COVID-19 dan menaikkan nama Thailand dalam kalangan rakan dagang China di seluruh dunia.

Beliau menambah bahawa WCEC akan berlangsung dari 24 hingga 26 Jun di Pusat Konvensyen Kebangsaan Queen Sirikit, yang pernah menjadi tapak penganjuran APEC 2022. Lebih 3,000 hadirin dijangka akan datang.

Foto yang diambil di Pusat Konvensyen Kebangsaan Queen Sirikit pada pada 18 November ini menunjukkan pemandangan pusat bandar Bangkok, Thailand. (foto: Guo Lei/Xinhua)

Pendaftaran untuk acara dibuka pada awal Mac.

Ditubuhkan pada 1991, WCEC ialah acara dwitahunan untuk usahawan Cina di seluruh dunia, bertujuan mewujudkan rangkaian ekonomi yang menghubungkan mereka.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan