Pendidikan Semakin Digital di China

Oleh Wu Dan, Ding Yasong, People's Daily

Persidangan Pendidikan Digital Sedunia telah diadakan di Beijing baru-baru ini, di mana satu siri peralatan pendidikan digital menjadi tumpuan perhatian.

Sebagai contoh, dengan memakai set kepala realiti campuran, orang ramai boleh melihat saiz sebenar enjin pesawat menerusi dunia maya, malah boleh juga membuka dan memasangnya dengan pengawal permainan di tangan mereka.

Murid-murid memakai set kepala realiti maya untuk kelas sains di sebuah sekolah rendah di Qinhuangdao, provinsi Hebei di utara China. (foto: Cao Jianxiong/People's Daily Online)

Kamera video berdaya 5G boleh menangkap pergerakan pelajar dalam masa nyata apabila mereka membuat lompat jauh dalam keadaan berdiri dan kemudian memberikan panduan yang khusus.

Peranti ini adalah miniatur pendigitalan pendidikan China. Hari ini, aplikasi teknologi digital dalam aktiviti pendidikan di semua jenis sekolah di semua peringkat di China mula diperkukuh. Teknologi digital telah mengubah senario pendidikan di institusi pendidikan dengan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan tadbir urus.

Penambahbaikan berterusan kemudahan pendidikan digital telah meletakkan asas penting untuk penambahbaikan pendidikan yang lebih seimbang.

Hari ini, semua sekolah rendah dan menengah di seluruh China telah disambungkan ke Internet. 99.9 peratus daripadanya mempunyai jalur lebar dengan kelajuan 100Mbps. Selain itu, lebih daripada tiga perempat sekolah di China mempunyai rangkaian tanpa wayar, dan kira-kira 99.5 peratus sekolah mempunyai bilik darjah multimedia.

Kemudahan pengajaran multimedia digunakan di bilik darjah di sebuah sekolah rendah di kampung Hujia, daerah Xintian, Yongzhou, provinsi Hunan di bahagian tengah China. (foto: Liu Guixiong/People's Daily Online)

Pembukaan dan perkongsian sumber pendidikan digital adalah kunci untuk merapatkan jurang digital dan pendidikan.

Pada bulan Mac, platform perkhidmatan dalam talian awam yang dipanggil Smart Education of China telah dilancarkan, memfokuskan pada bidang seperti pembelajaran, pengajaran, tadbir urus sekolah dan inovasi pendidikan. Setakat ini, platform itu telah menerima lebih daripada 6.7 bilion paparan halaman dan lebih daripada 1 bilion pelawat dari lebih 200 negara dan wilayah.

Platform ini menyediakan akses kepada sumber pendidikan berkualiti untuk sekolah rendah dan menengah luar bandar di bahagian tengah dan barat negara yang kurang membangun. Ia juga membolehkan universiti di barat China berkongsi sumber berkualiti yang disediakan oleh universiti di timur.

Sebuah sekolah di Nanchang, provinsi Jiangxi di timur China telah menggunakan platform dalam talian untuk menyemak kerja rumah pelajar dan sebuah buku nota kesilapan individu dijana untuk setiap seorang pelajar berdasarkan prestasi mereka. Buku nota kesilapan bukan sahaja mengandungi kesilapan yang pernah mereka lakukan sebelum ini, malah latihan-latihan lain yang berkaitan turut diberikan bagi membantu mereka memahami dengan lebih baik apa yang telah mereka pelajari.

Selain itu, guru sekolah juga boleh menyemak prestasi kerja rumah pelajar dan perkembangan akademik mereka di platform.

"Berdasarkan statistik, kami boleh membuat rancangan pengajaran yang bersasaran dengan prosedur yang lebih pantas, sekaligus meningkatkan kecekapan pengajaran dengan ketara," kata seorang guru bernama Liao Haiyan dari sekolah itu.

Guo Jiezhong, ketua jabatan pendidikan provinsi Jiangxi memberitahu People's Daily bahawa agak sukar untuk membantu setiap pelajar meningkatkan prestasi akademik di bawah model membuat kerja rumah tradisional. Ini kerana prestasi pelajar berbeza-beza, malah pelajar pada tahap yang sama mungkin mempunyai pemahaman yang berbeza tentang apa yang dipelajari.

"Itulah sebabnya kami memperkenalkan platform dalam talian," tambah Guo.

Dengan pendigitalan, sektor pendidikan telah berkembang untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang fleksibel dan lebih mendalam kepada pelajar.

Murid-murid belajar pemprograman dan memasang robot di sebuah sekolah rendah di daerah Jinxi, Fuzhou, provinsi Jiangxi di timur China. (foto: Deng Xingdong/People's Daily Online)

Dalam pangkalan simulasi maya untuk pendidikan vokasional di Kolej Vokasional Pelancongan dan Perdagangan Jiangxi, yang merupakan yang pertama bagi kategori ini di China, peralatan realiti maya (VR) dan pad kawalan digunakan untuk membantu pelajar mempelajari teknik dan kemahiran.

"Kami pernah menunjukkan teknik-teknik ini kepada pelajar dengan gambar dan video. Kini dengan peranti VR, setiap senario menjadi lebih nyata dan lebih menarik minat pelajar," kata Duan Xinxin, seorang guru kolej itu.

Difahamkan bahawa pangkalan itu mempunyai pusat latihan simulasi maya untuk 28 jurusan, serta bilik darjah yang dilengkapi dengan set kepala VR kolaboratif. Setiap bilik darjah di pangkalan dilengkapi dengan mesin VR, cermin mata VR dan kemudahan pengajaran multimedia. Pangkalan itu mampu menampung 10,000 pelajar.

"Pembelajaran akan menjadi perkara sukarela, mengasyikkan dan khusus untuk individu pada masa hadapan," kata profesor Song Tian dari Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Angkasa Siber, Institut Teknologi Beijing.

Dengan memasuki senario pembelajaran yang berbeza menerusi bantuan inovasi teknologi, pelajar akan memperoleh pembelajaran yang lebih menarik dan efisyen, tambah profesor itu.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan