Pembangunan Berkualiti Cetus Peluang Penting kepada Kerjasama China-Indonesia

(CRI)Rabu 15 Mac 2023

Usaha China dalam memacu pembangunan berkualiti tinggi dan modenisasi bakal mencetuskan peluang penting kepada kerjasama antara China dengan Indonesia.

Demikian dinyatakan Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Wang Yi dalam perbualan telefon dengan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan pada Selasa.

Luhut yang juga penyelaras kerjasama dengan China berkata, Indonesia memberikan keutamaan kepada perkembangan hubungan dengan China.

Beliau menzahirkan hasrat untuk berusaha bersama dengan China dalam pembangunan berkualiti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), mendorong pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung, di samping memacu kerjasama dua hala supaya membuahkan lebih banyak hasil.

Beliau juga memberi penghargaan kepada usaha China yang menjayakan dialog antara Arab Saudi dengan Iran, sambil menyifatkannya sebagai teladan baik untuk penyelesaian percanggahan dan pewujudan kedamaian menerusi perundingan.

Wang pula berkata pencapaian dialog itu merupakan satu kejayaan dalam mempraktikkan Inisiatif Keselamatan Global yang dikemukakan Presiden Xi Jinping, dan juga contoh penyelesaian isu serantau oleh negara membangun menerusi usaha sendiri.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan