China Bantah 'Transit' Tsai Ing-wen di AS

(CRI)Khamis 06 April 2023

China tegas menentang dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengizinkan pemimpin Taiwan, Tsai Ing-wen “transit” di AS.

Jurucakap Kementerian Luar China pada Khamis berkata, AS pada mutakhir ini terus berdegil mengizinkan Tsai Ing-wen ‘transit’ di AS, selain turut menyediakan platform untuknya mengeluarkan kenyataan berhubung ‘kemerdekaan Taiwan’.

Menurut jurucakap itu, ia bertujuan untuk memecahbelahkan China dengan bertemu dengan Speaker Dewan Perwakilan, AS Kevin McCarthy tanpa menghiraukan bantahan serius dan amaran berulang kali dari China.

“Tindakan AS ini bercanggah serius dengan prinsip Satu China dan peraturan dalam tiga Pengumuman Bersama China-AS, mencabuli serius kedaulatan dan keutuhan wilayah China, dan menghantar isyarat yang salah tentang ‘Kemerdekaan Taiwan’ kepada puak pemisah,” ujar beliau.

Prinsip Satu China adalah konsensus umum masyarakat antarabangsa dan norma asas dalam hubungan antarabangsa, selain turut merupakan prasyarat serta asas bagi penjalinan dan perkembangan hubungan diplomatik China-AS.

“Dalam ketiga-tiga Pengumuman Bersama China-AS tersebut, AS membuat komitmen yang jelas bahawa hanya mengekalkan hubungan tidak rasmi dengan Taiwan. Namun AS sebenarnya terus menjejaskan prinsip Satu China."

“Sejak memegang jawatan, Tsai enggan mengiktiraf Konsensus 1992 yang merangkumi prinsip Satu China, bahkan mempergiatkan ‘kemerdekaan’ dengan pelbagai alasan."

“Ini mengakibatkan hubungan kedua-dua pantai Selat Taiwan terjebak dalam situasi kesukaran yang serius,” kata jurucakap itu.

Isu Taiwan adalah isu utama dalam kepentingan teras China dan garis merah pertama yang tidak boleh dipijak dalam hubungan China-AS.

“Sebagai tindakan balas terhadap tindakan salah AS dan Taiwan, China akan mengambil langkah yang tegas untuk membela kedaulatan dan keutuhan wilayah negara sendiri,” jelas beliau.

China sekali lagi menggesa AS mematuhi prinsip Satu China dan peraturan dalam tiga Pengumuman Bersama China-AS, mengambil tindakan sebenar untuk menunaikan janji pemimpin AS berhubung tidak menyokong ‘Kemerdekaan Taiwan’, ‘dua China’ atau ‘satu China, satu Taiwan’, menghentikan program pertukaran rasmi dalam sebarang bentuk dengan Taiwan serta tindakan menaik taraf hubungan substantifnya dengan Taiwan.

China juga mahu AS berhenti daripada mewujudkan anasir yang meruncingkan ketegangan di Selat Taiwan serta tindakan yang mengekang pembangunan China dengan mengeksploitasi isu Taiwan.

Pada hari sama, jurucakap Kementerian Pertahanan Negara China berkata, Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China akan berpegang kepada tanggungjawab dan misinya, selain berjaga-jaga pada setiap masa untuk membela kedaulatan dan keutuhan wilayah negara, serta keamanan dan kestabilan di seluruh kawasan Selat Taiwan.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan