Tesla akan Buka Megafactory di Shanghai

(CRI)Isnin 10 April 2023

Syarikat pembuat automobil dari Amerika Syarikat (AS), Tesla mengumumkan bahawa pihaknya akan membuka sebuah Megafactory di Shanghai, China, mengkhususkan kepada penghasilan Megapack, iaitu produk penyimpanan tenaga.

Pembinaan Megafactory itu akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini, dan dijangka beroperasi pada suku kedua 2024, kata Tesla pada majlis penandatanganan perjanjian di sini, paa Ahad.

Megafactory itu mampu menghasilkan sebanyak 10,000 Megapack setahun, bersamaan penyimpanan tenaga kira-kira 40 GWh. Produk yang dihasilkan di kilang itu akan dijual di seluruh dunia.

Megapack ialah bateri bersaiz besar yang boleh menyimpan tenaga, membantu stabilkan grid tenaga dan mencegah tenaga terputus.

Naib Ketua Setiausaha kerajaan bandar Shanghai, Zhuang Mudi memberitahu bahawa pada lima tahun yang lalu, projek Gigafactory Tesla di Shanghai telah menjadi tumpuan dunia, sekali gus menjadikan Shanghai sebagai kawasan penting bagi perkembangan industri kenderaan tenaga baharu (NEV).

"Kini, pemeteraian Megafactory di Shanghai pasti dapat menggalakkan perkembangan industri penyimpanan tenaga baharu dan transformasi ke arah karbon rendah," kata beliau.

Difahamkan, projek Megafactory merupakan projek pengeluaran Megapack pertama di luar Amerika Syarikat.

Gigafactory Tesla di Shanghai telah menghasilkan 710,000 kereta pada 2022, menokok 48 peratus berbanding 2021.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan