Disember Dijangka Ceriakan Pengedar Kenderaan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 06 Disember 2022
Disember Dijangka Ceriakan Pengedar Kenderaan
Ora Good Cat EV buatan Great Wall Motors dipamerkan di sebuah ekspo. [foto: IC]

Suasana niaga bagi pengedar kenderaan terkesan ekoran wabak COVID-19, hingga menyebabkan berlakunya peningkatan pada inventori kereta. Namun menurut sebuah persatuan industri, keadaan itu dijangka mereda pada bulan ini.

Data daripada Persatuan Peniaga Automobil China (CADA) pada Khamis lalu menunjukkan bahawa indeks inventori kenderaan, yang mencerminkan paras inventori pada pengedar kereta, naik sebanyak 9.9 mata peratusan tahun ke tahun kepada 65.3 peratus pada November.

Indeks ini biasanya lebih rendah daripada 50 peratus apabila pasarannya sihat. Angka yang tinggi menunjukkan permintaan pasaran lemah, tekanan inventori kuat dan risiko lebih besar.

Lang Xuehong, timbalan setiausaha agung CADA menyatakan bahawa, kelewatan pameran dan promosi kenderaan tempatan serta penutupan sementara kedai menjual kereta disebabkan wabak COVID-19 mengekang permintaan dan pembelian pada pihak pengguna.

CADA menganggarkan jualan runcit kenderaan akan mencecah kira-kira 1.7 juta unit pada November.

Satu tinjauan oleh CADA mendapati 41.2 peratus pengedar kereta telah menutup kedai buat sementara dan 73 peratus menyatakan ada kemungkinan mereka tidak dapat mencapai sasaran jualan.

Kebanyakan pengedar kereta meramalkan keadaan perniagaan kenderaan akan kekal lembap kerana ketidaktentuan akibat wabak COVID-19.

Lang menganggap terlalu sukar untuk meramalkan prestasi perniagaan kenderaan untuk sepanjang tahun ini disebabkan keadaan pasaran yang kompleks dan tidak menentu, yang jauh berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Dengan dasar cukai pembelian yang menggalakkan dan subsidi kenderaan tenaga baharu (NEV) akan tamat tahun ini, pengguna yang merancang untuk membeli kereta mungkin akan merebut peluang ketika masih boleh mendapatkan harga yang lebih rendah, tambah Lang.

Persatuan industri terkemuka di China optimistik terhadap jumlah nilai jualan tahun ini. Chenshihua, timbalan setiausaha agung Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM) berkata bahawa, segmen kenderaan penumpang menyaksikan peningkatan pesat sejak Jun, sewaktu pihak berkuasa memperkenalkan subsidi cukai pembelian.

Kata Chen, segmen berkenaan diyakini akan memacu nilai jualan di China tahun ini kepada lebih 27 juta unit, yang sekali gus akan menandakan peningkatan sebanyak 3 peratus berbanding 2021. Pakar lain menaruh harapan yang lebih besar terhadap prestasi pasaran. Dalam forum industri kenderaan yang diadakan pada November, Cui Dongshu, setiausaha agung Persatuan Kereta Penumpang China berkata, industri kenderaan diramalkan mencapai pertumbuhan 14 peratus tahun ke tahun pada suku terakhir. Nilai jualan tahun ini dijangka melebihi 28 juta unit, merekodkan pertumbuhan 7 peratus.

Data CAAM menunjukkan nilai perniagaan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini mencatat 21.98 juta unit, naik 4.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu

Gaya Hidup

Berita Berkaitan