CNNC: Nekad Jadi Teraju Pembangunan Nuklear Global

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 14 April 2023
CNNC: Nekad Jadi Teraju Pembangunan Nuklear Global
Reaktor nuklear “Hualong-1” pertama di dunia, unit generator No.5 Loji Fuqing, provinsi Fujian.

“Daripada menyusuli negara lain hinggalah berlari seiringan, kami pasti dapat mendahului dalam pembangunan tenaga nuklear global pada suatu hari nanti,” kata Chen Baozhi, pengerusi China Nuclear Engineering and Construction (CNNC). Kata-katanya itu bukanlah cakap besar semata-mata, tetapi lahirnya selepas menyaksikan perjuangan China dalam sektor nuklear selama 32 tahun.

“Saya amat berbesar hati dapat melibatkan diri dalam penubuhan, pembangunan dan perkembangan industri tenaga nuklear China.” Kata Chen, beliau merasa bangga dapat menyaksikan tertubuhnya Loji Janakuasa Nuklear Qinshan yang juga loji nuklear pertama di China, pembinaan fasiliti arus perdana global seperti loji-loji Dayawan, Tianwan dan Fuqing, serta terhasilnya reaktor nuklear generasi ketiga “Hualong-1” yang sepenuhnya direka sendiri dan menjadi “kad nama” negara.

Pada 27 Disember 2020, unit generator No.5 Loji Fuqing, iaitu reaktor “Hualong-1” pertama di dunia, mula beroperasi, menandakan China memecahkan monopoli teknologi janakuasa nuklear daripada negara lain dan tersenarai sebagai negara maju dalam sektor nuklear.

Timbalan pengurus besar CNNC, Gao Jinzhu menyebut bahawa, “Ada satu kalimat yang disebut-sebut dalam dunia nuklear antarabangsa, iaitu reaktor pertama pastinya tertangguh.” Ini kerana aplikasi teknologi atau peralatan baharu biasanya akan mendepani pelbagai masalah dan harus dikemas kini secara berterusan, yang sering membawa kepada penangguhan projek. Namun “Hualong-1” siap dibina mengikut jadual, dan menjadi reaktor nuklear generasi ketiga yang pertama yang siap dan beroperasi seperti dijadualkan.

China kini menduduki barisan depan dari segi kapasiti terpasang dan skala projek loji nuklear dalam pembinaan. CNNC juga tampil sebagai syarikat kejuruteraan nuklear yang ternama di peringkat antarabangsa. Kapasiti pembinaannya meningkat kepada 40 unit pada masa yang sama, daripada dua unit pada dulunya.

Menurut Chen Baozhi, CNNC, penyumbang utama dalam sektor itu serta dalam pembinaan semua loji nuklear di China, terlibat dalam 83 unit yang 60 daripadanya siap dibina dan telah beroperasi, manakala 23 lagi masih dalam pembinaan.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan