Auto Shanghai Platform Pamer Produk dan Teknologi Baharu

(CRI)Selasa 18 April 2023

Pameran Industri Automobil Antarabangsa Shanghai ke-20 atau Auto Shanghai 2023 menyediakan platform untuk penggiat industri automotif mempamerkan produk dan teknologi baharu, sekali gus meningkatkan lagi keyakinan pasaran dan merangsang penggunaan kenderaan.

Bermula dari 18 hingga 27 April, pameran auto berprestij dunia itu akan memperkenalkan trend transformasi tenaga alternatif.

Di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di Shanghai, terdapat sembilan dewan disediakan untuk mempamerkan kereta penumpang terbaharu dari seluruh dunia, dan tiga lagi khusus untuk teknologi automotif dan produk rantaian bekalan yang paling canggih.

"Kesemua dewan NECC seluas 360,000 meter persegi dipenuhi kereta baharu yang diperkenalkan 1,000 buah syarikat automotif," kata pengerusi Majlis Promosi Perdagangan Antarabangsa Shanghai, Zhou Minhao.

Menurut beliau, lebih daripada 1,500 kenderaan lengkap akan dipamerkan, dan kenderaan tenaga alternatif menyumbang kira-kira dua pertiga daripadanya.

Selain itu, sebanyak 150 unit kereta baharu turut akan membuat kemunculan sulung pada pameran berkenaan.

Presiden Persatuan Industri Automotif Jerman, Hildegard Muller memuji Auto Shanghai sebagai cerminan perkembangan pesat industri auto China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Daripada fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada penghasilan kenderaan elektrik dan pendigitalan, saya rasa China antara pasaran terpenting dunia, dan kini ia lebih terbuka."

"Satu pertiga daripada kereta buatan Jerman dijual di China. Oleh itu, kami berharap hubungan kerjasama yang lebih baik dapat dijalin supaya aktiviti pelaburan antara syarikat dua negara semakin dipergiat," kata beliau.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan