Usaha CNBG Pulihara Tumbuhan Capai Kemajuan Baharu

(CRI)Selasa 18 April 2023

Hari ini menandakan genap setahun penubuhan Taman Botani Negara China (CNBG).

Sepanjang tempoh setahun lalu, CNBG melakar kemajuan baharu dalam usaha pengumpulan dan pemuliharaan spesies tumbuhan.

Taman yang terletak di Beijing itu turut menyelesaikan penyelidikan latar belakang sumber spesies tumbuhan membabitkan lebih 2,000 jenis baharu.

CNBG kini menghimpunkan lebih 17,000 jenis flora termasuk hampir 1,000 spesies yang diklasifikasikan sebagai terancam, sekali gus menjadi zon demonstrasi perlindungan kepelbagaian flora di China.

Selain melaksanakan program pemuliharaan ex situ, taman botani itu juga merupakan platform penting untuk penyelidikan saintifik tumbuh-tumbuhan.

Sejak ditubuhkan, CNBG terus meningkatkan taraf penyelidikan saintifiknya dan memberikan sokongan teknologi untuk usaha memulihara tumbuhan.

Difahamkan, sistem visualisasi data raya tumbuhan yang dikendalikan CNBG mengintegrasikan data berketepatan tinggi makrobotani seluruh negara.

Taman itu juga mengkaji dan membangunkan pelbagai produk data termasuk sistem maklumat tumbuhan liar terpelihara, sistem amaran awal tumbuhan invasif dan sistem pemuliharaan ex situ, hingga membentuk pangkalan data komprehensif membabitkan pelbagai dimensi serta keseluruhan kitaran hidup spesies berkenaan.

Pengarah eksekutif CNBG, Sun Guofeng menyifatkan sistem berkenaan memberi sokongan kukuh terhadap kerja-kerja CNBG khususnya dalam bidang pengumpulan dan penyelidikan kepelbagaian tumbuhan, pemuliharaan ex situ tumbuhan terancam serta penyebaran ilmu sains.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan