Xi Berunding dengan Presiden Kazakhstan

(CRI)Khamis 18 Mei 2023

Presiden China Xi Jinping mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev di Xi’an, semalam.

Xi berkata beliau amat mengalu-alukan kehadiran Tokayev untuk menyertai Sidang Kemuncak China-Asia Tengah di Xi’an serta melakukan lawatan rasmi ke China.

Xi turut mengambil peluang ini menzahirkan ucapan selamat hari lahir ke-70 buat Tokayev.

Beliau menyatakan, kunjungan yang dilakukan Tokayev pada hari istimewa itu memperlihatkan keakraban hubungan dua negara yang berada pada tahap tinggi, sekali gus membuktikan presiden dari negara Asia Tengah itu mempunyai ikatan yang unik dengan China.

Menurut Xi, hubungan China-Kazakhstan menyingkap ‘tiga dekad emas’ yang baharu.

Kedua-dua pihak perlu terus menyemarakkan jalinan ikatan yang tradisional, memperdalam kerjasama yang sama menang dan memacu pembangunan bersama.

Dua negara itu juga diharap menggerakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib yang menampilkan rasa muhibah dibawakan dari generasi ke generasi serta kesalingpercayaan pada tahap tinggi.

Xi berkata China dan Kazakhstan berjaya menyempurnakan berpuluh-puluh projek usaha sama penting sejak pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) sepanjang sedekad lalu.

Beliau menyeru sinergi terus diperkasakan untuk memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi dan dagangan, pelaburan, pertanian, pembuatan kenderaan, tenaga dan lain-lain, di samping meneroka bidang baharu termasuk e-dagang, inovasi dan data raya.

Xi mahu dua negara mengambil pemeteraian perjanjian mengenai pengecualian visa sebagai peluang untuk memudahkan lagi komunikasi dan interaksi sesama rakyat.

Beliau mengalu-alukan pelancaran tahun pelancongan Kazakhstan di China pada 2024, dan percaya bahawa pembukaan konsulat jeneral Kazakhstan di Xi'an akan merapatkan aktiviti pertukaran tempatan antara kedua-dua negara.

Xi turut menambah, mekanisme China-Asia Tengah bertujuan untuk meningkatkan kerjasama yang saling untung dan menjana kemakmuran bersama.

Beliau menyifatkan sidang kemuncak yang semakin menjelang itu sebagai amat signifikan kerana ia bakal membawa kolaborasi kedua-dua pihak memasuki era baharu.

Selepas rundingan, dua pemimpin itu menandatangani Kenyataan Bersama China-Kazakhstan dan menyaksikan pemeteraian dokumen kerjasama dua hala membabitkan banyak bidang termasuk ekonomi, tenaga, pengangkutan, pertanian dan sebagainya.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan