Pelajar Turkmenistan: Saya Saksi Persahabatan China-Asia Tengah

Bayramdurdyyev Rahman, pelajar dari Turkmenistan. (Zhang Wenjie)

Bayramdurdyyev Rahman, pelajar dari Turkmenistan. (Zhang Wenjie)

“Kalian adalah saksi, penerima manfaat, pembina dan penyebar hubungan China-Asia Tengah. Harap kalian berperanan sebagai duta muhibah dan penyedia wahana kolaborasi untuk menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib yang lebih rapat antara China dengan Asia Tengah...” Demikian ujar Presiden Xi Jinping dalam surat balas kepada pelajar dari negara-negara Asia Tengah yang menuntut di Universiti Petroleum China di Beijing, membuat seluruh warga universiti teruja termasuklah Bayramdurdyyev Rahman, pelajar dari Turkmenistan.

Kata Rahman, “Kami tidak sangka boleh dapat surat balas daripada Presiden Xi. Rasa macam mimpi.” Rahman memberitahu, dia dapat belajar di China kerana adanya Program Perekrutan Bersama China-Turkmenistan. “Seperti yang dinyatakan dalam surat balas, saya adalah penerima manfaat.”

Sekian lamanya, PetroChina Int'l (Turkmenistan) menjalinkan kerjasama yang rapat dengan pihak Turkmenistan. PetroChina Int'l (Turkmenistan) juga giat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan melancarkan program kerjasama dengan Universiti Petroleum China, di mana pelajar sekolah tinggi setempat yang cemerlang akan diberi peluang untuk menuntut di universiti tersebut. Tujuannya adalah untuk memupuk bakat yang mahir teknologi, fasih bahasa Mandarin dan faham budaya China dengan sudut pandangan antarabangsa.

Pada 2010, 15 orang lepasan sekolah tinggi Turkmenistan terpilih untuk belajar di China dan Rahman antara salah seorang daripadanya.

Rahman sama sekali tidak mahir bertutur bahasa Mandarin sebelum datang ke China. “Saya hanya tahu tentang Confucius, Jackie Chan, Tembok Besar, patung Tentera Terracotta dan Teh Cina.” Rahman terus mendalami pengetahuan tentang budaya China sejak menuntut di China.

Bermula dari program peringkat asas hinggalah PhD, Rahman telah menuntut di China selama 13 tahun. Dia juga melibatkan diri dalam tadbir urus hal ehwal pelajar antarabangsa dalam universiti. “Kebanyakan pelajar antarabangsa di sini kenal saya,” katanya. “Saya harap dapat membantu mereka agar menghindari masalah yang pernah saya alami.”

Rahman berada di bilik belajar universiti. (Zhang Wenjie)

Rahman berada di bilik belajar universiti. (Zhang Wenjie)

Ketika ini, Rahman sedang sibuk menyiapkan tesis PhD. Bidang kajiannya adalah penyetempatan Marxisme di China, yang sungguh di luar sangkaan rakan-rakannya, sedangkan Rahman tidak pernah menceburi bidang ini sebelumnya.

Menurut Rahman, bidang ini agak luas dan teorinya masih laku pada zaman sekarang. “Perkembangan pesat China jelas dilihat semua, maka penyetempatan Marxisme di China berbaloi dikaji agar memahami jalur perkembangan China.”

Turkmenistan antara tapak penting laluan sutera pada zaman purba sebagai tempat transit untuk barangan China yang dijual ke Eropah. Kata Rahman, kini peranan Inisiatif Jalur dan Laluan juga semakin terasa di Turkmenistan. “Nilai perdagangan China-Turkmenistan terus meningkat tahun-tahun kebelakangan ini. Banyak syarikat logistik Turkmenistan mahu berurus niaga dengan China. Telefon bimbit, komputer, peralatan elektrik... Barang-barang yang digunakan sehari-hari, kebanyakannya adalah buatan China.”

Selama 13 tahun berada di China, Xi’an antara bandar yang paling mengagumkan bagi Rahman terutamanya patung Tentera Terracotta yang setiap satunya mempunyai riak wajah yang agak berbeza.

Kata Rahman, surat balas Presiden Xi akan menjadi kenangan yang paling penting sepanjang menuntut di China, dan adalah menjadi hasratnya untuk menyumbang kepada kerjasama China-Asia Tengah.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan