Sidang Kemuncak China-Asia Tengah Cermin Kestabilan dan Kemakmuran Serantau

(CRI)Jumaat 19 Mei 2023

Hubungan persahabatan antara China dengan Asia Tengah bermula pada Dinasti Han (tahun 206 Sebelum Masihi--220 Masihi). Sejak itu, Asia Tengah berkembang menjadi salah satu hub strategik dalam pengangkutan sepanjang Jalan Sutera.

Sami Xuanzang yang terkenal dengan pengembaraannya ke “rantau Barat” pada Dinasti Tang (tahun 618 hingga 907 Masihi) pernah melawat ke Samarkand (ibu negara Uzbekistan sekarang) dan meninggalkan catatan perjalanannya yang berbunyi bahawa “harta karun dari pelbagai tempat dikumpulkan ke sini”.

Lukisan “Sumbangan Singa untuk Baginda” yang dihasilkan pada 1483 berkaitan dengan cerita tentang seorang utusan yang ditugaskan Sudan Negeri Samarkand menghantar dua ekor singa sebagai sumbangan kepada Maharaja Dinasti Ming (tahun 1368 hingga 1644). Disebabkan tidak pernah melihat singa, haiwan yang sudah terpupus di Asia Timur pada masa itu, baginda sangat gembira dan menghadiahkan harta karun yang bernilai beberapa kali ganda kepada utusan tersebut untuk dibawa balik ke Samarkand. Lukisan itu merupakan artifak simpanan dalam Muzium Kota Larangan Taipei pada masa ini.

Semalam, pemimpin China dan lima negara Aisa Tengah, termasuk Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan berkumpul di bandar Xi’an yang pernah merupakan ibu kota Dinasti Han dan Tang yang juga titik tolak Jalan Sutera, untuk mengembangkan persahabatan dan kerjasama.

Sepuluh tahun yang lalu, Presiden China Xi Jinping buat kali pertama mengemukakan konsep “Jalur Ekonomi Jalan Sutera” ketika menyampaikan ucapan di Universiti Nazarbayev, Khazakstan. Konsep ini seterusnya berkembang menjadi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Dalam tempoh 10 tahun lalu, jumlah perjalanan kereta api kargo China-Eropah yang berlepas dari Xi’an mencatat sebanyak 17 ribu kali, dengan 4,200 kali antaranya menuju ke negara-negara Asia Tengah.

Selain produk China yang diangkut ke rantau tersebut, pelbagai produk hasilan Asia Tengah seperti madu, bir, gandum, kacang hijau, daging lembu dan kambing dan lain-lain dibawa balik melalui perjalanan kereta api kargo tersebut.

Selain Xi’an, banyak bandar China lain seperti Shanghai, Jinhua, Zhenzhou dan Urumqi juga terlibat dalam perkhidmatan kereta api kargo ke Asia Tengah. Cara pengangkutan yang menggunakan kuda dan unta di Jalan Sutera pada zaman purba telah berubah menjadi jaringan kereta api pada masa kini.

Data Kementerian Perdagangan China menunjukkan, perdagangan antara China dengan lima negara Asia Tengah tersebut meningkat 100 kali ganda dalam tempoh 30 tahun lalu sejak terjalinnya hubungan diplomatik. Jumlah perdagangan antara kedua-dua pihak pada tahun 2022 mencatat USD70 bilion (RM319 bilion), lebih awal mencapai matlamat yang dijadualkan. Manakala jumlah perdagangan kedua-dua pihak menyaksikan peningkatan sebanyak 22% pada tiga bulan pertama tahun ini.

Pelaburan langsung China terhadap lima negara tersebut menokok USD15 bilion (RM68 bilion), sedangkan projek pembinaan infrastruktur yang bernilai USD63.9 bilion (RM291 bilion) selesai dilaksanakan.

Seiring dengan meningkatnya kelancaran logistik dan kesalinghubungan infrastruktur, aliran modal dan komoditi menjadi semakin rancak di Asia Tengah. Selanjutnya, kerjasama China dengan negara-negara terbabit dapat dipacu ke bidang baharu yang melibatkan tenaga baharu, e-niaga, data raya, AI, 5G dan lain-lain.

Sejak konsep Jalur Ekonomi Jalan Sutera dikemukakan pada 10 tahun yang lalu, China bukan sahaja berjaya menganjurkan Forum Jalur dan Laluan, Dialog Tamadun Asia dan pelbagai aktiviti yang lain, tetapi juga berturut-turut mengemukakan konsep Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan, Inisiatif Keselamatan Global, Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Tamadun Global. Inti patinya bertujuan menggalakkan kerjasama, dan memelihara kedamaian dunia bagi mewujudkan pembangunan bersama.

Sidang Kemuncak China-Asia Tengah edisi 2023 dipercayai akan terus memberi sumbangan kepada kestabilan dan kemakmuran serantau.

—Oleh Satria Zhang

Gaya Hidup

Berita Berkaitan