China, Jerman Mahu Lonjakkan Ikatan, Perkukuh Kolaborasi

(CRI)Rabu 21 Jun 2023

China bersedia bekerjasama dengan Jerman untuk melonjakkan ikatan bilateral ke tahap baharu bagi memacu pembangunan bersama, sekali gus menyuntik tenaga positif dan kepastian kepada dunia.

Demikian kata Perdana Menteri China, Li Qiang ketika bertemu dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz di Berlin pada Selasa.

Dalam ucapannya, beliau turut mengesyorkan supaya kedua-dua negara mempermudah pertukaran personel dan memantapkan interaksi sosiobudaya antara satu sama lain.

Menyentuh mengenai usaha menangani perubahan iklim, Li berkata ia perlu dijadikan sebagai salah satu konsep panduan bagi kolaborasi China-Jerman pada masa depan.

Beliau mencadangkan agar kerjasama melibatkan teknologi hijau dan sektor perindustrian terus diperkasa, selain meneroka pembahagian kerja yang munasabah dan teratur dalam rantaian perindustrian tenaga hijau.

Sementara itu, Scholz menyatakan Jerman mengalu-alukan pembangunan dan kemakmuran China yang disifatkannya sebagai kondusif untuk keamanan dan kestabilan dunia.

Beliau turut menegaskan bahawa Jerman menolak segala bentuk amalan 'mencantas hubungan', dan komited untuk membangunkan hubungan yang stabil dengan China.

"Jerman akan memperkukuh pertukaran dua hala, memperdalam kerjasama saling untung, serta mencapai lebih banyak konsensus kerjasama dalam usaha menangani perubahan iklim dan memajukan pembangunan hijau.

"Jerman menyokong pelaburan dua hala dan akan menawarkan persekitaran perniagaan yang baik kepada perusahaan China untuk melabur di Jerman," ujar Scholz.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan