Import Eksport antara China, Anggota RCEP Meningkat 4.5 Peratus

(CRI)Jumaat 30 Jun 2023

Jumlah import dan eksport antara China dengan negara-negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk lima bulan pertama tahun 2023 direkodkan sebanyak RMB5.11 trilion (RM3.3 trilion).

Memetik maklumat Forum Peringkat Tinggi Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan RCEP, ia sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 4.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Untuk rekod, jumlah import dan eksport antara China dengan anggota lain RCEP dicatatkan sebanyak RMB12.95 trilion (RM8.36 trilion) pada 2022.

Angka tersebut turut memperlihatkan peningkatan 7.5 peratus berbanding tempoh sama tahun 2021, secara tidak langsung menempati 30.8 peratus daripada keseluruhan import dan eksport negara ini.

Menurut statistik yang dikeluarkan, pelaburan langsung bukan kewangan China terhadap anggota lain RCEP meningkat 18.9 peratus kepada USD17.96 bilion (RM84 bilion) pada tahun lepas, manakala penggunaan pelaburan anggota lain RCEP mengikut kontrak yang terlaksana oleh China meningkat 23.1 peratus dengan mencatat USD23.53 bilion (RM110 bilion).

Pengerusi Majlis China untuk Penggalakan Perdagangan Antarabangsa (CCPIT), Ren Hongbin menyatakan bahawa China telah menandatangani 20 perjanjian perdagangan bebas dengan 27 negara dan wilayah, dan jumlah perdagangan dengan rakan dagang negara terbabit menyumbang kira-kira 35 peratus daripada jumlah perdagangan luar di China.

Sejak berkuat kuasa pada 1 Januari 2022, RCEP mendorong pengurangan dengan ketara kos perdagangan barangan antara negara anggota, menggalakkan dengan berkesan integrasi secara mendalam rantaian perindustrian, rantaian bekalan dan rantaian nilai serantau.

Selain itu, RCEP juga kondusif bagi menjana ekonomi dan memulihkan keyakinan serantau, serta menyuntik momentum baharu terhadap perkembangan perdagangan dan pelaburan serantau, bahkan sejagat.

RCEP dikuat kuasa secara rasmi di Filipina pada 2 Jun lalu, yang menandakan kesemua 15 anggota, iaitu 10 negara ASEAN, China, Australia, Jepun, Korea Selatan, dan New Zealand telah meratifikasi perjanjian berkenaan.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan