Penari Cilik China kejar impian Olimpik, Sukan Asia

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 04 Julai 2023

Foto yang diambil pada 1 Julai 2023 ini menunjukkan penari-penari tarian jalanan pada Pertandingan Terbuka Tarian Jalanan Beijing. (sumber: Xinhua)

Foto yang diambil pada 1 Julai 2023 ini menunjukkan penari-penari tarian jalanan pada Pertandingan Terbuka Tarian Jalanan Beijing. (foto: Xinhua)

"Mungkin dalam masa sedekad, saya dapat menari di Sukan Olimpik atau Sukan Asia," kata Long Yuhan yang berusia 8 tahun, yang telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Terbuka Tarian Jalanan Beijing, Sabtu.

Pertandingan tarian jalanan itu edisi pertama yang dianjurkan di Beijing, menarik 350 penari dari serata China untuk tampil ke pentas. Kebanyakan mereka kanak-kanak berumur sekitar 10 tahun.

"Acara tersebut bukan sekadar satu pertandingan profesional, tetapi juga satu bentuk hiburan bagi orang ramai. Penari, sama ada kanak-kanak atau dewasa, mempersembahkan pelbagai ragam tarian termasuk yang dikenali sebagai breaking, hip-hip, popping dan locking," jelas Kong Xianfei, pengarah Pusat Pentadbiran Sukan Sosial Beijing.

Breaking atau breakdance sejenis tarian yang berasal dari Amerika Syarikat pada era 70-an, dan dijadikan acara Olimpik pada tahun 2018 semasa Sukan Olimpik Belia di Buenos Aires. Acara ini akan dipertandingkan pada Olimpik Paris 2024 dan Sukan Asia Hangzhou lewat tahun ini.

Kanak-kanak membuat persembahan pada Pertandingan Terbuka Tarian Jalanan Beijing. (sumber: Xinhua)

Kanak-kanak membuat persembahan pada Pertandingan Terbuka Tarian Jalanan Beijing. (foto: Xinhua)

"Semenjak breaking dimasukkan dalam program Olimpik dan Sukan Asia, makin ramai anak muda di China yang mula menari tarian jalanan sebagai hobi. Ada antara bakat-bakat kecil ini yang menyertai Pertandingan Terbuka Tarian Jalanan Beijing," kata Wang Ying, pengarah jawatankuasa tarian jalanan di bawah Persatuan Sukan Aerobik dan Tarian Beijing.

Pada Pertandingan Terbuka Tarian Jalanan Beijing, Bai Zitong dianugerahkan hadiah Penari Terbaik.

Bai Zitong beraksi pada Pertandingan Terbuka Tarian Jalanan Beijing. (sumber: Xinhua)

Bai Zitong beraksi pada Pertandingan Terbuka Tarian Jalanan Beijing. (foto: Xinhua)

"Setiap kali saya ikut sama aktiviti tarian jalanan, saya berkenalan dengan kawan-kawan baharu. Saya sangat suka menari dan akan terus menari pada masa depan," kata gadis kecil berusia 9 tahun itu.

Pada masa ini, Universiti Sukan Beijing (BSU) mempunyai lebih 30 penuntut yang membuat pengkhususan dalam breaking, menumpukan pengajian mereka kepada teori-teori berkaitan sambil mengasah lagi kemahiran menari.

"Jurusan breaking yang ditawarkan di BSU diperkenalkan pada tahun 2020. Graduan jurusan ini sudah pasti penting peranannya dalam perkembangan tarian breaking, justeru menyuluh jalan untuk lebih ramai orang muda merealisasikan impian di pentas tarian jalanan," ujar Bai Lu, seorang jurulatih breaking di BSU.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan